Pemulihan sentimen pengguna secara beransur-ansur diyakini lonjak hasil Nova Wellness, kata Kenanga

Business & FinanceHealth & Fitness
8 Sep 2025 • 2:45 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pemulihan sentimen pengguna secara beransur-ansur diyakini lonjak hasil Nova Wellness, kata Kenanga

image is not available

08/09/2025 - 14:45

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Sept - Pemulihan sentimen pengguna Malaysia secara beransur-ansur selepas menerima penjelasan lanjut berhubung langkah rasionalisasi RON95 dijangka melonjakkan hasil Nova Wellness Group Berhad, kata Kenanga Research.

Firma penyelidikan itu percaya, sebaik sahaja mekanisme itu dimuktamadkan dan dilaksanakan, isi rumah akan secara berperingkat menyesuaikan diri dengan struktur harga baharu serta meneruskan corak perbelanjaan mengikut kemampuan kewangan masing-masing.

"Perkembangan ini berpotensi memberikan suntikan kepada prestasi perniagaannya selepas keputusan kewangan tahun 2025 (FY25) yang lebih lemah daripada jangkaan," katanya dalam satu nota kajian.

Nova Wellness baru-baru ini melaporkan untung bersih sebanyak RM7.7 juta untuk FY25, iaitu 10% lebih rendah berbanding unjuran pasaran.

Kenanga Research berkata, untung bersih 4QFY25 kumpulan jatuh 67%, manakala hasil merosot 13%, disebabkan asas perbandingan yang tinggi pada 3QFY25, apabila pengguna berbelanja besar membeli makanan tambahan berikutan peningkatan kes selesema dan penyakit seakan-akan influenza.

Walaupun berdepan cabaran semasa, prospek pasaran produk penjagaan kesihatan tanpa preskripsi (OTC) domestik dilihat mampu menjadi penyokong utama kepada pemulihan kumpulan.

Data industri menunjukkan perbelanjaan kesihatan peribadi di farmasi swasta tempatan telah berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) 10 tahun sebanyak 11%, mencerminkan permintaan yang kukuh terhadap suplemen kesihatan, vitamin, dan produk penjagaan diri.

Pasaran ini dijangka terus berkembang seiring dengan peningkatan kesedaran masyarakat terhadap kesihatan, kecenderungan untuk mengurus sendiri masalah kesihatan ringan, serta kemudahan akses kepada farmasi komuniti.

"Pertumbuhan pasaran OTC yang konsisten membuktikan pengguna Malaysia semakin menitikberatkan kesihatan mereka, walaupun berdepan tekanan kos sara hidup. Hal ini seharusnya menjadi pemacu penting kepada prestasi Nova Wellness bagi jangka panjang.

Firma penyelidikan itu menurunkan penarafan Nova Wellness kepada "market perform" daripada "outperform" dengan harga sasaran (TP) lebih rendah sebanyak 34 sen sesaham.

Penurunan itu mengambil kira prestasi suku tahunan yang lemah secara berterusan serta unjuran keuntungan FY26 yang diturunkan 10%.- DagangNews.com

standard