amree29/07/2026 - 16:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 29 Julai – Pansar Berhad mencatatkan keuntungan bersih RM23.3 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026, namun merosot berbanding RM26.1 juta pada tahun sebelumnya (FY25).
Penyusutan keuntungan selepas cukai (PAT) ini didorong oleh sumbangan yang lebih rendah daripada bahagian marin dan industri ekoran permintaan yang lemah bagi bekalan enjin marin ke Indonesia.
Menurut makluman kumpulan itu kepada Bursa Malaysia, kenaikan kos pentadbiran dan operasi termasuk susut nilai aset dan kerugian nilai saksama ke atas pelaburan sebut harga menjejaskan prestasi.
"Meskipun PAT susut, kumpulan merekodkan peningkatan hasil 14.4% kepada RM1.3 bilion berbanding RM1.1 bilion pada FY25, dengan diterajui bahagian pembinaan dan infrastruktur," tambah Pansar.
Prestasi positif segmen tersebut jelasnya, berjaya menyumbang RM729.0 juta, dengan didorong oleh kejayaan pelaksanaan dalam pelbagai projek utama seperti Jambatan Batang Lupar di Sarawak.
Justeru, Lembaga Pengarah mengumumkan pengisytiharan dividen interim sebanyak 0.25 sen sesaham bagi tahun kewangan semasa, dan akan dibayar kepada pemegang saham pada 24 September 2026.

Dalam pada itu, Pansar berjaya memperkukuhkan kedudukan kewangan pada FY26 dengan mengurangkan jumlah hutang sebanyak RM115.4 juta iaitu bersamaan kira-kira 38.8% sepanjang tahun kewangan ini.
"Kumpulan ini turut mengekalkan buku tempahan yang sihat dengan mencecah jumlah kira-kira RM2.0 bilion, sekali gus berupaya menyediakan asas secara kukuh untuk pertumbuhan masa depan," katanya.
Sementara itu ujarnya lagi, aliran tunai operasi syarikat juga melonjak ketara kepada RM111.8 juta berbanding RM22.0 juta pada tahun sebelumnya, disokong oleh pengurusan modal kerja yang cekap.
Pengerusi Pansar, Datuk James Tai Cheong menyatakan fleksibiliti kumpulan bertindak balas terhadap perubahan pasaran membolehkan ia terus menunjukkan prestasi meskipun persekitaran yang mencabar.
Melangkah ke hadapan, Pansar kekal optimis terhadap peluang sektor infrastruktur sivil dan tenaga, terutama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 dan strategi pembangunan 2030 oleh kerajaan Sarawak.
"Pada masa sama, kumpulan juga sedang meneroka model konsesi berpotensi dengan kerajaan negeri ini untuk mempelbagaikan aliran pendapatan jangka panjang," katanya. - DagangNews.com






