Kebanjiran kenderaan buatan China diramal terus tekan hasil BAuto pada FY26 - penganalisis

12/09/2025 - 16:40
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 12 Sept - Bermaz Auto Berhad (BAuto) diramal terus berdepan tekanan hasil pada FY26 disebabkan kebanjiran kenderaan buatan China di Malaysia yang menawarkan harga yang lebih kompetitif, kata penganalisis.
Public Investment Bank (PublicInvest) berkata, walaupun BAuto bekerjasama dengan Xpeng dan Deepal untuk menangani cabaran itu, namun jualan daripada kerjasama tersebut dijangka tidak mampu sepenuhnya menampung kekurangan daripada jenama Mazda dan Kia keranan insentif kenderaan elektrik (EV) semasa dijadualkan tamat pada 31 Disember 2025.
Katanya, sektor automotif Malaysia dijangka kembali normal tahun ini selepas mencatatkan prestasi cemerlang pada tahun 2024 yang mewujudkan kesan asas yang tinggi.
"Walaupun pasaran semasa dijangka kukuh, segmen kenderaan penumpang bukan nasional berdepan cabaran besar akibat keyakinan pengguna yang berkurangan serta kos kenderaan yang lebih tinggi yang didorong rasionalisasi subsidi bahan api dan tekanan inflasi," katanya dalam satu nota kajian.
Terdahulu, hasil suku tahunan BAuto pada 1QFY26 susut 41.9% kepada RM491.28 juta, berbanding RM846.18 juta sebelum ini, terutamanya disebabkan oleh penurunan jualan domestik bagi beberapa model Mazda dan Kia yang hampir menamatkan kitaran produk masing-masing.
TA Securities berkata, prospek pasaran kumpulan itu dijangka terus mencabar berpunca daripada persaingan yang semakin sengit dan strategi harga yang tidak rasional daripada kenderaan buatan China walapun model Mazda CX-60 dan CX-80 PHEV menerima tempahan menggalakkan.
Firma penyelidikan itu percaya, tekanan persaingan berterusan daripada pendatang baharu akan terus menghakis pegangan pasaran BAuto dan menjejaskan jumlah jualan, khususnya dalam segmen pertengahan dengan faktor kemampuan menjadi faktor utama.
"Pertumbuhan pesat jenama kereta China, strategi harga agresif, ciri-ciri canggih, serta kitaran produk yang lebih singkat dijangka meningkatkan perang harga yang akhirnya akan menekan margin keuntungan BAuto," katanya.
Sementara itu, RHB Research menurunkan unjuran pendapatan BAuto pada FY26 sebanyak 31% selepas mengambil kira sumbangan lebih rendah daripada syarikat bersekutu, kadar cukai efektif (ETR) yang lebih tinggi serta margin Mazda yang lebih lemah.
Bagaimanapun, katanya, margin Mazda mungkin kekal tertekan memandangkan diskaun yang diberikan untuk melupuskan beberapa model turbo dan diesel.
"Kumpulan itu akan terus berdepan risiko termasuk pesanan dan penghantaran yang lebih lemah daripada jangkaan, persaingan yang semakin sengit, serta kebangkitan semula kekangan rantaian bekalan.
"Kami mengekalkan saranan "neutral" dengan harga sasaran 61 sen sesaham," katanya.- DagangNews.com
standard

