amree18/11/2026 - 09:00 Gambar hiasan - BERNAMA Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 18 Nov — Hasil kerajaan Selangor melepasi sasaran RM2.8 bilion dengan berjaya mencecah RM3 bilion setakat ini, sekali gus mencerminkan momentum pertumbuhan ekonomi positif negeri tersebut.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pencapaian berkenaan menunjukkan perkembangan memberangsangkan dalam pelaksanaan agenda pembangunan negeri.
Tambah beliau, ketika Belanjawan Selangor 2027 dibentangkan pada 13 November 2026, hasil negeri sudah mencapai RM2.95 bilion sebelum meningkat kepada RM3 bilion pada hari berikutnya.
Menurutnya, kerajaan negeri turut merancang memperkenalkan pelbagai pendekatan baharu bagi meningkatkan taraf hidup rakyat, khususnya golongan yang masih memerlukan bantuan.
"Meskipun Selangor sudah mencapai status sifar miskin tegar, hampir 65,000 individu masih berdaftar dalam sistem eKasih dan memerlukan perhatian serta bantuan berterusan," jelas Amirudin.
Beliau menyatakan demikian pada Majlis Penghargaan Media 2026 anjuran Unit Penyelarasan Pelaksanaan Selangor di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Shah Alam pada Selasa.

Menjelaskan lanjut, kerajaan negeri sehubungan itu sedang giat merangka pendekatan dikenali sebagai kehidupan wajar bagi menambah baik kaedah pengukuran kemiskinan sedia ada.
Amirudin menambah, pendekatan baharu itu dijangka diumumkan pada Jun depan dengan penyelarasan bersama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri.
"Kerangka berkenaan turut mengambil kira konteks kemiskinan tegar dan kemiskinan relatif bagi memastikan penilaian dibuat berdasarkan keadaan sebenar kehidupan rakyat," kata beliau.
Ujarnya, kaedah baharu itu bertujuan mengenal pasti keperluan sebenar masyarakat supaya bantuan yang disalurkan bukan sekadar memenuhi keperluan asas, malah mampu meningkatkan kualiti hidup.
Pendekatan itu juga dijangka membolehkan kerajaan negeri menilai keberkesanan bantuan dengan lebih menyeluruh, khususnya dalam usaha membantu golongan berpendapatan rendah keluar daripada kepompong kemiskinan.
Dalam pada itu, Amirudin berkata, Majlis Tindakan Pembangunan Negeri bukan sahaja bertanggungjawab memantau pelaksanaan projek pembangunan berskala besar, malah memainkan peranan menangani isu kemiskinan dan kebajikan rakyat. - DagangNews.com






