liza18/11/2026 - 17:12 Kilang Dutch Lady di Bandar Enstek, Negeri Sembilan - Gambar Kamaliza Kamaruddin/DagangNews Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 18 Nov – Dutch Lady Milk Industries Berhad mencatatkan peningkatan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak 34.9% kepada RM108.6 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2026 (9MFY26) berbanding RM80.48 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Peningkatan itu dicapai susulan pertumbuhan hasil sebanyak 5.4% kepada RM1.18 bilion berbanding RM1.12 bilion pada 9MFY25, didorong prestasi jualan lebih tinggi bagi rangkaian susu cecair serta sumbangan produk baharu.
Keuntungan operasi turut meningkat 37.3% kepada RM148.44 juta berbanding RM108.08 juta sebelumnya, manakala keuntungan sebelum cukai (PBT) meningkat 41.6% kepada RM144.99 juta daripada RM102.36 juta.
Bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026 (Q3FY26), Dutch Lady merekodkan PAT sebanyak RM40.47 juta, meningkat 26.2% berbanding RM32.06 juta pada suku sama tahun lalu.
Hasil bagi suku berkenaan turut meningkat 6.6% kepada RM399.26 juta berbanding RM374.52 juta sebelumnya, manakala keuntungan operasi meningkat 37.4% kepada RM54.08 juta daripada RM39.37 juta.
Produk baharu, saluran jualan pacu pertumbuhan
Dalam laporan keputusan kewangannya kepada Bursa Malaysia, Dutch Lady berkata pertumbuhan hasil pada suku ketiga didorong peningkatan jualan rangkaian susu cecair yang diperkenalkan semula dengan identiti pembungkusan baharu pada suku kedua.
Prestasi itu turut disokong momentum jualan yang memberangsangkan menerusi saluran luar rumah (out-of-home), selain sumbangan positif daripada inovasi produk khususnya Dutch Lady Omega dan rangkaian baharu Dutch Lady Tealive.
Syarikat itu berkata prestasi jualan berkenaan mencerminkan daya tahan portfolio produk teras, momentum berterusan daripada inovasi produk serta kejayaan mendapatkan pelanggan baharu dalam saluran luar rumah.
Peningkatan keuntungan operasi pula disumbangkan hasil lebih tinggi, kesan positif pergerakan kadar pertukaran mata wang asing serta ketiadaan kos sekali sahaja berkaitan peralihan operasi yang direkodkan pada suku ketiga 2025 berjumlah RM1.7 juta.
Kenaikan harga bahan mentah beri tekanan kepada margin
Mengulas prospek perniagaan, Dutch Lady berkata persekitaran operasi pada 2026 terus dipengaruhi ketidaktentuan geopolitik global, turun naik harga komoditi dan tekanan inflasi.
Syarikat menjangkakan harga bahan mentah tenusu (Dairy Raw Material atau DRM) yang meningkat pada suku ketiga akan terus naik pada suku keempat 2026 seterusnya memberi kesan kepada baki tahun kewangan semasa.
Malah, Dutch Lady menjangkakan kenaikan ketara harga komoditi pada 2027 yang boleh memberi tekanan kepada margin keuntungan, walaupun pengukuhan ringgit sepanjang tempoh berkenaan membantu mengurangkan sebahagian kesan inflasi kos import.
Bagaimanapun, syarikat mengekalkan prospek positif bagi tahun kewangan 2026, disokong kekuatan jenama serta peningkatan kesedaran pengguna Malaysia terhadap nilai pemakanan susu.
Langsaikan pinjaman antara syarikat, umum dividen 40 sen
Dalam perkembangan lain, Dutch Lady memaklumkan pinjaman antara syarikat berjumlah AS$22.1 juta (RM97.9 juta) telah dilangsaikan sepenuhnya setakat suku ketiga 2026, mencerminkan keupayaan penjanaan tunai yang lebih baik, perbelanjaan modal lebih rendah serta pengurangan kebergantungan kepada pinjaman.
Kemudahan pinjaman antara syarikat itu turut diperbaharui sehingga 31 Mac 2027 dengan had AS$15 juta, berbanding AS$35 juta sebelum ini.
Selain itu, syarikat mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 40 sen sesaham, berjumlah RM25.6 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026. - DagangNews.com






