
KOTA TINGGI: Hasrat penolong pegawai perubatan (MA), Muhamad Amin Mukhtar, 35, untuk berpindah kerja dan pulang ke kampung halamannya dari Johor Bahru ke Terengganu tidak kesampaian, apabila Allahyarham maut dalam kemalangan, semalam.
Kakaknya, Rohana Mukhtar, 54, berkata, Allahyarham merupakan adik bongsu daripada lapan beradik dan telah berkhidmat di Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru sejak tujuh tahun lalu.
Katanya, Muhamad Amin bersungguh-sungguh menyatakan hasrat untuk berpindah bagi menetap bersama ibunya ketika mereka berjumpa, hujung minggu lalu.
“Arwah sudah tujuh tahun bertugas di HSI. Dia bercadang untuk jual rumah di Johor dan beli rumah baharu di Terengganu untuk tinggal bersama ibu.
“Dahulu kalau tanya bila mahu pindah ke Terengganu, dia berkata tidak mahu, tetapi kali ini dia sendiri yang bersungguh-sungguh mahu pulang ke kampung halaman dan mahu tinggal bersama ibu.
“Itu antara perbualan terakhir saya dengannya, kami berjumpa semalam ketika dia pulang ke Setiu, Terengganu untuk menghadiri majlis perkahwinan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi, di sini hari ini.
Tambah Rohana, Muhamad Amin pulang ke Johor dari Terengganu dengan memandu kereta Honda City pada kira-kira pukul 11 pagi semalam.
“Kami dapat makluman bahawa dia terlibat dalam kemalangan maut itu lebih kurang pukul 6 petang. Memang ada nampak sedikit kelainan masa kali terakhir bertemu, dia agak pendiam berbanding biasa.
“Ibu kami pun ada beritahu bahawa Amin seperti sudah berubah, ibu kata dia tidak pegang telefon semasa berbual seperti kebiasaannya. Biasanya telefon memang di tangannya.
“Kawan-kawan sekerja dia pun ada beritahu Amin ada memohon maaf kepada mereka sebelum bergerak ke Terengganu untuk bercuti. Rupa-rupanya itu antara petanda dia akan pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya,” katanya.
Dalam kemalangan yang berlaku di Kilometer 80, Jalan Johor Bahru-Mersing, di sini pada pukul 5.25 petang itu, kenderaan dipandu Muhamad Amin bertembung dengan sebuah Toyota Vios yang terbabas memasuki laluan bertentangan.
Selain Muhamad Amin, kemalangan itu turut meragut nyawa pemandu Toyota Vios, Muhamad Shuhairil Soraiya, 21, dan rakannya, Nur Fatin Nabilah Yusrishahrun, 20.-UTUSAN
The post Hasrat adik pindah ke Terengganu untuk tinggal bersama ibu tidak kesampaian – Kakak appeared first on Utusan Malaysia.






