amree14/09/2026 - 10:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 14 Sept — HE Group Berhad berpeluang menambah lagi kontrak baharu bagi mencapai sasaran pengisian semula buku tempahan sebanyak RM350 juta pada tahun kewangan 2026.
Menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB), setakat ini ia meraih kontrak bernilai RM293 juta, atau 84% daripada sasaran ditetapkan bagi FY26, dan mencerminkan momentum kerja yang sihat.
Perkembangan terbaharu ialah kontrak bernilai RM25 juta daripada pengeluar berkaitan semikonduktor bagi melaksanakan kerja pengagihan tenaga, dan memberikan keterlihatan hasil hingga tempoh 1HFY27.
"Kami menganggarkan kontrak ini mampu menjana RM2 juta kepada keuntungan bersih HE Group sepanjang tempoh pelaksanaan, berdasarkan andaian margin 8% bagi projek berkaitan," jelas firma tersebut.
Dengan buku tempahan sekitar RM317 juta, atau 2.6 kali ganda hasil bagi FY25, Maybank IB melihat kedudukan kontrak kumpulan itu memberikan sokongan terhadap keterlihatan pendapatan yang stabil.
Namun, momentum pengisian semula perlu diteruskan bagi memastikan pertumbuhan kekal mampan, dengan kumpulan itu ada buku tender bernilai RM1.3 bilion sebagai sumber potensi kontrak baharu.

Kira-kira 80% terdiri projek pusat data (DC), yang dijangka menjadi pemacu penting pertumbuhan HE Group, terutamanya dalam segmen pembinaan serta kejuruteraan mekanikal dan elektrikal (M&E).
"Kami menjangka momentum perolehan kerja baharu terus kukuh pada suku keempat 2026, disokong buku tender yang besar, dengan projek DC berpotensi memberi sumbangan kepada operasi," kata Maybank IB.
Firma penyelidikan itu turut mengekalkan sasaran pengisian semula kontrak kumpulan pada RM350 juta bagi FY26 dan RM250 juta masing-masing bagi FY27 dan FY28, selain mengekalkan semua unjuran hasil.
Sehubungan itu, bersandarkan potensi positif tersebut, ia tidak mengubah saranan 'pegang' terhadap saham kumpulan berkenaan dengan harga sasaran (TP) juga masih kagi kekal kepada 96 sen sesaham.
Penilaian ini berdasarkan gandaan harga kepada pendapatan (P/E) 18 kali terhadap unjuran hasil sesaham (EPS) FY27, iaitu dua sisihan piawai melebihi purata syarikat setara sektor M&E. - DagangNews.com






