amree09/09/2026 - 14:45 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 9 Sept — Kemerosotan permintaan terhadap perkhidmatan tambah nilai prabayar ternyata menjejaskan hasil komisen RichTech Digital Berhad, selain berdepan tekanan pemampatan marjin oleh syarikat telekomunikasi bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 (FY26).
Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, cabaran itu semakin ketara apabila pengguna prabayar beralih kepada pelan pascabayar yang lebih kompetitif, manakala pengurangan pekerja asing turut memberi kesan kepada jumlah pelanggan utama perkhidmatan tambah nilai.
Susulan tekanan tersebut, hasil komisen kumpulan merosot kira-kira 42.8% kepada RM5.91 juta bagi FY26 berbanding RM10.32 juta bagi tempoh kewangan 15 bulan yang berakhir 31 Mac 2025 (FY25), walaupun jumlah jualan kasar pula mencecah sebanyak RM572.04 juta.
"Daripada jumlah it, segmen tambah nilai menjana RM437.52 juta, manakala segmen pembayaran bil menyumbang RM134.52 juta, sekali gus menggambarkan cabaran syarikat mengurangkan kebergantungan terhadap segmen perniagaan tambah nilai prabayar," jelas RichTech.
Keuntungan selepas cukai (PAT) turut susut kepada RM3.27 juta berbanding RM4.46 juta bagi FY25, namun prestasi itu disokong sebahagiannya oleh pengurusan kos pentadbiran yang lebih ketat serta pendapatan faedah daripada simpanan hasil terbitan awam permulaan (IPO).
Menghadapi perubahan struktur dalam pasaran tersebut, kumpulan itu mengambil langkah mempelbagaikan sumber hasil menerusi pengembangan perkhidmatan pembayaran bil dan rumusan digital, selain kekal optimis terhadap prospek jangka panjang sektor pembayaran digital Malaysia.

Bagi menyokong strategi itu, RichTech menubuhkan anak syarikat milik penuh, RichTech Cloudlink Sdn Bhd pada 5 Mac 2026 untuk meneroka bidang pembangunan perisian dan rumusan digital, sekali gus membuka laluan kepada sumber pendapatan baharu berasaskan platform.
"Dari segi kedudukan kewangan, kumpulan masih kekal tanpa hutang dengan jumlah sumber cair sebanyak RM26.70 juta, yang terdiri daripada RM9.29 juta tunai dan baki bank serta sejumlah RM17.41 juta dalam bentuk pelaburan tempoh jangka pendek," tambahnya lagi.
Daripada RM13.67 juta dana kasar diperoleh menerusi IPO pada Februari 2025, RM6.17 juta digunakan bagi modal kerja dan perbelanjaan penyenaraian, manakala baki RM7.50 juta diperuntukkan untuk pemasaran dan promosi sebanyak RM4.50 juta serta pembelian pejabat baharu RM3 juta.
Bagaimanapun, Lembaga Pengarah RichTech tidak mencadangkan pembayaran dividen bagi TK2026, dengan sumber tunai syarikat diberi keutamaan untuk menyokong rancangan pengembangan dan usaha membina platform perniagaan yang lebih pelbagai.
Pengerusi Bukan Eksekutif Bukan Bebas RichTech, Wong Koon Wai, berkata FY27 dijangka kekal sebagai tempoh peralihan apabila pengurusan memberi tumpuan membangunkan asas perniagaan berteraskan platform yang lebih pelbagai bagi mengembalikan kumpulan ke landasan pertumbuhan. - DagangNews.com





