Tender RM1.3 bilion beri ruang HE Group raih lebih banyak kontrak – Penganalisis

LocalBusiness & Finance
11 Sep 2026 • 10:52 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Tender RM1.3 bilion beri ruang HE Group raih lebih banyak kontrak – Penganalisis Image from: Tender RM1.3 bilion beri ruang HE Group raih lebih banyak kontrak – Penganalisis liza11/09/2026 - 10:52 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 11 Sept – HE Group Berhad berpeluang meraih lebih banyak kontrak baharu menerusi projek pusat data dan semikonduktor sebagai sumber pertumbuhan utama syarikat kejuruteraan elektrik itu dengan nilai projek yang sedang dibida kini mencecah sekitar RM1 bilion hingga RM1.3 bilion, kata penganalisis.

 

Penganalisis menyifatkan semua projek yang sedang dibida itu sebagai petunjuk positif kepada keupayaan HE Group menambah kontrak dalam tempoh akan datang.

 

Terbaharu, HE Group memperoleh kontrak RM25 juta bagi kerja sistem pengagihan kuasa untuk pengeluar produk cip memori kilat NAND di Malaysia.

 

Kontrak berkenaan turut mengukuhkan keyakinan bahawa perbelanjaan bagi pembangunan infrastruktur pusat data dan industri semikonduktor terus membuka peluang kepada syarikat seperti HE Group.

 

Dengan kontrak baharu yang diperoleh dan projek yang masih dalam proses bidaan, penganalisis menjangkakan pertumbuhan buku tempahan HE Group akan meningkatkan keterlihatan pendapatan kumpulan dalam tempoh akan datang.

 

Phillip Research kekalkan saranan Beli

Phillip Research mengekalkan saranan ‘Beli’ terhadap HE Group dengan sasaran harga 12 bulan RM1.30 tanpa perubahan daripada sasaran sebelumnya.

 

Firma itu berkata kontrak RM25 juta berkenaan merupakan kontrak kedua yang diperoleh HE Group daripada pelanggan NAND sama tahun ini, selepas kontrak RM20 juta pada Mei lalu.

 

ARTIKEL BERKAITAN: HE Group peroleh tender RM25 juta kerja sistem pengagihan tenaga pengeluar produk memori

 

Kontrak terbaharu itu bermula pada 10 September 2026 dan dijangka disiapkan dalam tempoh 20 minggu. 

 

“Kami menganggarkan projek tersebut memberikan margin keuntungan bersih sekitar 9%.

 

“Kemenangan itu membawa jumlah kontrak yang diperoleh HE Group sejak awal 2026 kepada RM305 juta, bersamaan 76% daripada sasaran pengisian semula buku pesanan RM400 juta yang diunjurkan bagi tahun ini,” kata Phillip Research dalam nota kajiannya.

 

Buku tempahan tertunggak HE Group kini berjumlah RM320 juta, dengan antara 80% hingga 85% berkaitan pusat data. Dengan buku tender RM1.3 bilion dan beberapa bidaan masih menunggu keputusan akhir, firma itu percaya HE Group berpeluang melepasi sasaran pengisian semula yang ditetapkan.

 

PublicInvest naik taraf kepada ‘Outperform’

Sementara itu, PublicInvest Research lebih positif terhadap prospek HE Group apabila menaikkan penarafan saham itu daripada ‘Neutral’ kepada ‘Outperform’.

 

Firma tersebut turut menaikkan sasaran harga 12 bulan kepada RM1.26 daripada RM0.91 sebelum ini, berdasarkan gandaan harga kepada pendapatan 16 kali bagi unjuran pendapatan sesaham 2027, berbanding 15 kali sebelum ini.

 

PublicInvest turut menaikkan sasaran pengisian semula buku tempahan HE Group bagi FY2026 kepada RM430 juta daripada anggaran sebelumnya, selain menaikkan unjuran pendapatan FY2027 dan FY2028 secara purata 30%, disokong penukaran projek dalam buku tender yang konsisten.  

 

Namun, penganalisis turut mengingatkan beberapa risiko yang boleh menjejaskan prospek kumpulan, termasuk pertumbuhan buku pesanan yang lebih perlahan daripada jangkaan, kelewatan dalam pelaksanaan projek serta peningkatan kos yang boleh memberi tekanan kepada margin keuntungan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved