liza11/08/2026 - 14:31 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 11 Ogos – HE Group Berhad menerima surat hasrat (LOI) untuk membekalkan dan memasang sistem elektrik 275 kilovolt (275kV) bagi sebuah pusat data di Johor dengan nilai kira-kira RM47 juta.
Kerja berkenaan akan dilaksanakan oleh Hexatech Engineering Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh HE Group selepas syarikat itu menerima LOI bertarikh 7 Ogos 2026 untuk meneruskan projek tersebut.
“Kontrak rasmi bagi projek itu dijangka dimuktamadkan dan ditandatangani pada suku ketiga 2026. Pengumuman lanjut akan dibuat selepas kontrak rasmi dimeterai,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Penerimaan LOI membolehkan Hexatech Engineering meneruskan kerja berkaitan projek berkenaan sementara kontrak rasmi dimuktamadkan antara pihak terlibat.
Sistem elektrik 275kV merupakan infrastruktur voltan tinggi yang diperlukan untuk menyokong keperluan bekalan elektrik berkapasiti besar bagi operasi pusat data.
HE Group bagaimanapun tidak mendedahkan nama pelanggan atau pemilik pusat data yang terlibat dalam projek tersebut.
Setakat ini, HE Group sudah memperoleh kontrak baharu kira-kira RM230 juta, termasuk beberapa projek berskala kecil, dan pihak pengurusan menyasarkan nilai mencecah RM350 juta sepanjang FY26.
Buku tender semasa bernilai RM1 bilion masih didominasi projek pusat data yang merangkumi sekitar 80%, manakala selebihnya melibatkan projek semikonduktor dan sektor perindustrian lain. - DagangNews.com






