liza11/08/2026 - 11:05 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 11 Ogos – Southern Cable Group Bhd (SCGBHD) dijangka terus menikmati pertumbuhan pendapatan dan keuntungan susulan momentum tempahan yang kukuh daripada sektor pusat data serta permintaan kabel 132 kilovolt (kV) yang semakin meningkat.
Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) berkata, tempahan berkaitan pusat data yang kukuh serta peningkatan kapasiti pengeluaran kumpulan itu memberi gambaran lebih positif terhadap prospek pendapatan SCGBHD bagi beberapa tahun akan datang.
Susulan perkembangan itu, HLIB mengekalkan saranan ‘Beli’ terhadap saham SCGBHD dengan harga sasaran RM2.95 sesaham berbanding harga semasa RM2.50, mencerminkan potensi kenaikan sekitar 18% manakala hasil dividen sebanyak 0.8% menjadikan jumlah pulangan dijangka sebanyak 18.8%.
Tempahan Pusat Data Jadi Pemacu Utama
HLIB berkata, SCGBHD memperoleh kira-kira RM200 juta tempahan berkaitan pusat data pada suku kedua 2026 sahaja, jumlah yang besar berbanding anggaran jualan berkaitan pusat data sebanyak kira-kira RM354 juta bagi tahun kewangan 2025.
“Pada masa sama, kapasiti sedia ada SCGBHD bagi kabel 132kV telah ditempah sepenuhnya sehingga akhir 2026, disokong permintaan kukuh daripada sektor tenaga solar.
“Kabel 132kV baharu bersaiz 1,600 hingga 1,800 milimeter persegi yang telah mendapat kelayakan turut mula menarik minat pelanggan pusat data, dengan sumbangan pendapatan dijangka lebih ketara mulai FY2027.
“Tempoh antara penerimaan pesanan dan penghantaran biasanya mengambil masa sekitar enam hingga lapan bulan, bermakna tempahan yang diterima ketika ini berpotensi menyumbang kepada pendapatan pada tempoh akan datang,” kata HLIB dalam nota kajiannya.
Perkembangan itu juga dijangka membantu SCGBHD mengurangkan tekanan terhadap margin keuntungan, khususnya daripada jualan kepada Tenaga Nasional Bhd (TNB) apabila tempahan pusat data dan kabel 132kV yang mempunyai margin lebih tinggi mula dihantar dengan lebih banyak pada suku ketiga 2026.
Pengembangan Kapasiti Berjalan Mengikut Jadual
HLIB berkata, pihaknya lebih yakin selepas mengadakan lawatan ke kilang pembuatan SCGBHD dan mendapati pengembangan kapasiti kumpulan itu kekal mengikut perancangan.
SCGBHD kini mempunyai kapasiti pengeluaran sekitar 55,000 kilometer kabel setahun dan sedang melaksanakan tambahan kapasiti sebanyak 5,000 kilometer setahun yang mula beroperasi secara berperingkat sejak Julai 2026.
Manfaat penuh daripada kapasiti tambahan itu dijangka dapat dilihat pada suku keempat 2026 dengan pengembangan melibatkan peningkatan mesin di kilang kabel voltan rendah (LV) sedia ada serta pemasangan barisan pengeluaran tambahan di ibu pejabat kumpulan.
SCGBHD turut memasang relau tembaga baharu dan barisan tuangan (up-casting) yang akan meningkatkan kapasiti relau tembaga sebanyak 500 tan metrik sebulan kepada 2,000 tan metrik sebulan bagi menyokong permintaan yang semakin meningkat daripada sektor pusat data.
Bagi tempoh 2027 hingga 2028 dua kilang syarikat itu dijangka menjadi pemacu utama pengembangan kapasiti, dengan sasaran meningkatkan jumlah kapasiti kumpulan kepada 65,000 kilometer setahun menjelang 2027.
Pertumbuhan FY27 Dijangka Lebih Kukuh
Mesin baharu dijangka dihantar dalam tempoh dua bulan dan pengeluaran disasarkan bermula antara suku pertama dan suku kedua 2027 di kilang B yang dijangka memberi tumpuan kepada kabel berasaskan aluminium bagi memenuhi permintaan daripada TNB serta pasaran Amerika Syarikat.
SCGBHD turut merancang memasang barisan kabel pemvulkanan berterusan (CCV) baharu bagi memperluas keupayaan pengeluaran kepada kabel 33kV, 132kV dan 275kV.
Barisan baharu itu dianggarkan mempunyai kapasiti tahunan sekitar 2,000 kilometer jika digunakan untuk kabel voltan sederhana atau kira-kira 400 kilometer bagi kabel voltan lebih tinggi, berbanding kapasiti maksimum semasa sebanyak 300 kilometer.
HLIB menjangkakan penggunaan awal barisan tersebut lebih tertumpu kepada permintaan kabel 132kV kerana kabel 275kV memerlukan kira-kira 18 bulan untuk proses kelayakan dengan TNB selepas penghasilan sampel.
Dalam pada itu, SCGBHD menyasarkan penghantaran ke Amerika Syarikat sebanyak kira-kira 50 kontena sebulan pada FY2026, dengan peningkatan lebih kukuh dijangka bermula FY2027 apabila mesin baharu mula beroperasi.
Secara keseluruhan, HLIB mengunjurkan keuntungan bersih SCGBHD meningkat daripada RM131.4 juta pada FY2025 kepada RM151.3 juta pada FY2026 dan RM174.6 juta pada FY2027, sebelum mencecah RM190.9 juta pada FY2028. - DagangNews.com






