
SHAH ALAM, 15 OGOS: Landasan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang dibuka semula jam 2.57 petang tadi selepas ditutup seketika susulan insiden kebakaran sebuah helikopter.
Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Kapten Datuk Norazman Mahmud yang mengesahkan perkara itu seperti dilapor BH memaklumkan lapan penerbangan masuk dilencongkan ke lapangan terbang lain.
Katanya, tiga lagi penerbangan ditahan daripada berlepas sepanjang tempoh penutupan.
Difahamkan, kebakaran helikopter itu berlaku di Laluan Pesawat Viktor, iaitu laluan pergerakan pesawat dalam kawasan operasi lapangan terbang dan bukannya di landasan.
Terdahulu, semua penerbangan keluar dan masuk di LTSAAS ditangguhkan sehingga diberitahu kelak susulan penutupan landasan selepas insiden kebakaran berkenaan.
Kejadian kira-kira jam 12.28 tengah hari itu membabitkan helikopter Kamov Ka-32S bernombor pendaftaran Ukraine, UR-CIT, yang sedang menjalani pengujian enjin di darat sebagai sebahagian aktiviti penyelenggaraan.
Empat individu berjaya menyelamatkan diri dalam kejadian itu, manakala seorang dilaporkan cedera terkena serpihan ketika berada di luar helikopter.






