Hentikan buli dengan libatkan keluarga

LocalFamily & Parenting
14 Aug 2026 • 8:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Hentikan buli dengan libatkan keluarga

FENOMENA buli dalam kalangan pelajar sekolah menunjukkan peningkatan ketara dalam tiga tahun kebelakangan ini.

Statistik Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merekodkan 3,883 kes pada tahun 2022, 6,528 (2023) dan 7,681 (2024).

Ini tidak termasuk kes buli maya yang juga menunjukkan keadaan serius. Laporan pada 2025 menyatakan sebanyak 27 peratus murid di Malaysia mengakui pernah menjadi mangsa buli dalam talian, manakala 13 peratus lagi mengaku menjadi pembuli siber.

Antara faktor menyumbang peningkatan kes buli ialah normalisasi budaya buli dalam masyarakat.

Menurut Timbalan Pengarah Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah, Norazilee Abd. Aziz, anggapan yang mengakar dalam masyarakat bahawa perlakuan buli itu ‘lumrah kehidupan’, ‘adat di sekolah’ atau sebahagian daripada proses membentuk ketahanan mental menyebabkan tingkah laku tersebut tidak lagi dilihat sebagai satu bentuk keganasan yang perlu dihentikan.

Selain itu, mewujudkan situasi sosial yang meminggirkan mangsa juga menjadi satu mekanisme untuk mendapatkan kuasa dan status yang boleh dinikmati oleh pelaku buli, menyebabkan mereka berterusan melakukan perbuatan tersebut.

Di peringkat kerajaan, pelbagai kempen digerakkan oleh kementerian, agensi dan badan kerajaan dan bukan kerajaan untuk mengatasi isu ini seperti Kempen Anti Buli, CyberSAFE dan Kempen Internet Selamat.

KPM juga sejak 2005 mengeluarkan garis panduan rasmi pengurusan buli di peringkat sekolah.

Menurut panduan ini, buli ditakrifkan sebagai perbuatan mendera atau mempermainkan seorang/sekumpulan murid yang biasanya lebih lemah dengan tujuan untuk menggertak atau menakutkan mereka.

Menurut pakar psikiatri dan psikoterapi, Dr. Hazli Zakaria, terdapat tiga profil psikologi utama bagi pembuli.

Pertama, pembuli berprofil ego rapuh ialah individu yang mempamerkan tahap narsis tinggi, namun memiliki harga diri rendah, sensitif dengan kritikan dan mudah berasa tercabar.

Kedua, individu yang memanipulasi kelebihan diri untuk memahami pemikiran, emosi dan niat orang lain pula disebut sebagai pembuli berprofil cerdas sosial.

Ketiga, mereka yang pernah atau sedang menjadi mangsa buli dan bertukar menjadi seorang pembuli pula dikategorikan sebagai pembuli reaktif. Mereka selalunya bertindak secara impulsif, sukar mengawal emosi dan bertindak balas secara agresif apabila berhadapan dengan tekanan. Pembuli jenis reaktif merupakan kategori yang paling konsisten dikaitkan dengan faktor keluarga di dalam pembentukan personaliti pembuli mereka.

Penyelidikan terdahulu menunjukkan pengalaman negatif di dalam dinamika keluarga seperti penderaan, konflik keluarga, penggunaan disiplin yang bersifat menghukum, serta pendedahan kepada perlakuan agresif di rumah dan persekitaran boleh meningkatkan risiko seseorang melakukan tingkahlaku berisiko.

Hal ini juga diterangkan oleh Bandura (1977) dalam Teori Pembelajaran Sosial, dan Bowen (1978) dalam Teori Sistem Keluarga. Ibnu Khaldun juga pernah menyatakan dalam bukunya Muqaddimah, “Siapa yang tidak terdidik oleh orang tuanya, akan terdidik oleh zamannya”.

Kefahaman umum masyarakat tentang pengaruh dinamika keluarga ke atas pembentukan personaliti anak inilah yang menyebabkan ibu bapa mungkin berasa dihukum oleh masyarakat apabila anak mereka didakwa melakukan buli.

Ibu bapa akan merasa malu, terkejut, rasa bersalah dan juga takut dilabel sebagai ibu bapa yang gagal. Emosi negatif sebegini boleh menyebabkan mereka bertindak menafikan perbuatan dan mempertahankan tindakan anak anak, yang sebenarnya untuk melindungi diri sendiri daripada rasa malu dan mahu mengelakkan label “ibu bapa gagal” daripada masyarakat.

Satu kes yang berlaku di Korea Selatan pada 2017-2023 boleh menggambarkan sejauh mana ibu bapa boleh bertindak dalam mempertahankan kesalahan anak mereka.

Seorang bapa, Chung Sun-sin, menggunakan kedudukan, pengaruh dan kelebihannya sebagai peguam pendakwa raya, untuk memfailkan pelbagai rayuan mahkamah dan injunksi bagi menangguhkan hukuman perpindahan sekolah anaknya yang telah dibuktikan membuli rakan sekolahnya.

Oleh kerana hubungan yang signifikan ini, pendekatan penyelesaian yang mahu diambil oleh pihak yang terlibat perlu sangat berhati hati apabila melibatkan keluarga pelaku. Ini kerana tindakan terlalu menuduh seperti “anak puan pembuli”, “ibu bapa gagal didik anak” boleh menyebabkan mereka semakin defensif, merasionalisasikan perbuatan, memindahkan kesalahan kepada orang lain atau akhirnya menolak untuk bekerjasama.

Perkara ini perlu diperhatikan dengan baik kerana matlamat penyelesaian bagi masalah buli ini adalah untuk menghentikan perbuatan tersebut. Maka kaedah menangani masalah ini tidak akan mencapai kesempurnaan jika tidak melibatkan pelaku dan keluarga mereka.

Oleh itu, langkah yang dilihat lebih berkesan adalah dengan menerima keluarga pelaku sebagai rakan kongsi, bukan pihak yang dipersalahkan.

 

Image from: Hentikan buli dengan libatkan keluarga
KES buli perlu ditangani dengan melibatkan bukan sahaja mangsa tetapi juga pembuli dan keluarga mereka.

TERAS MALAYSIA MADANI

Pendekatan ini juga selari dengan dua teras masyarakat Malaysia Madani yang mahu dibangunkan, iaitu hormat dan ihsan.

Teras hormat menuntut setiap pihak berinteraksi dengan penuh adab dan menghormati maruah insan, manakala teras ihsan menekankan pendekatan empati, belas kasihan dan kesediaan masyarakat untuk membantu individu berubah menjadi lebih baik, bukannya sekadar menghukum.

Tindakan sebegini akan dapat mengurangkan rasa malu, membina kefahaman tentang apa yang berlaku, menggalakkan pertanggungjawaban dan menyokong perubahan tingkah laku keluarga dan pelaku itu sendiri.

Apabila keluarga melihat diri mereka sebagai sebahagian daripada proses perubahan dan diberikan hormat yang sewajarnya, maka akan lebih cenderung memberikan komitmen untuk membantu anak mengubah tingkah laku.

Tindakan yang diambil mestilah seperti menarik rambut dalam tepung. Rambut jangan putus, tepung jangan berselerak.

Keluarga pelaku bukan musuh tetapi mesti dilihat sebagai rakan strategik dalam menangani masalah buli.

Hal ini kerana kes buli tidak akan dapat dibendung sepenuhnya sekiranya usaha pencegahan hanya tertumpu kepada mangsa buli semata mata. –UTUSAN

 

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Kanan, Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

The post Hentikan buli dengan libatkan keluarga appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved