HSN Selangor ditangguh akibat jerebu

9 Oct 2026 • 11:11 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: HSN Selangor ditangguh akibat jerebu
Sambutan HSN 2026 peringkat negeri dan daerah di seluruh Selangor ditangguhkan akibat jerebu.

SAMBUTAN Hari Sukan Negara (HSN) 2026 peringkat negeri dan daerah di seluruh Selangor yang dijadualkan berlangsung esok ditangguhkan susulan keadaan jerebu yang semakin membimbangkan.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, keputusan itu dibuat dengan mengambil kira faktor keselamatan dan kesihatan orang ramai, terutama peserta, petugas, sukarelawan, kanak-kanak serta golongan berisiko.

Menurutnya, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa kawasan di Selangor berada pada tahap tidak sihat, sekali gus boleh mendatangkan risiko kesihatan sekiranya aktiviti fizikal diteruskan.

"Pendirian kerajaan negeri adalah jelas, keselamatan dan kesihatan rakyat mesti mengatasi pertimbangan untuk meneruskan sesuatu program.

"Sambutan HSN bertujuan memupuk budaya hidup aktif dan sihat, justeru penganjurannya tidak wajar diteruskan dalam keadaan yang boleh menjejaskan kesejahteraan masyarakat," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, sambutan yang sepatutnya berlangsung pada 10 Oktober itu akan dijadualkan semula pada tarikh baharu yang akan diumumkan kelak.

Sehubungan itu, semua agensi pelaksana, pihak berkuasa tempatan (PBT), pejabat belia dan sukan daerah serta rakan penganjur diminta mengambil maklum mengenai penangguhan berkenaan dan membuat penyelarasan sewajarnya.

Najwan turut meminta orang ramai merujuk pengumuman rasmi bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai tarikh baharu penganjuran program itu.

Katanya, kerajaan negeri akan terus memantau perkembangan jerebu dan mengambil kira nasihat pihak berkuasa berkaitan sebelum menentukan langkah selanjutnya.

Beliau menegaskan, penangguhan itu tidak bermakna komitmen kerajaan negeri terhadap agenda sukan diketepikan, sebaliknya langkah bertanggungjawab bagi memastikan setiap program dilaksanakan dalam keadaan selamat tanpa mendedahkan masyarakat kepada risiko kesihatan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved