
Huawei pada bulan lalu telah memperkenalkan tablet MatePad Air 2026 di peringkat global menerusi sebuah acara yang berlangsung di Malaysia. Terbaru, Huawei mengesahkan bahawa tablet tersebut akan dilancarkan secara rasmi untuk pasaran tempatan pada 18 Ogos 2026.
Menjelang pelancaran rasmi, Huawei turut mengumumkan promosi tempahan awal yang membolehkan pembeli menikmati hadiah percuma bernilai lebih RM4,000.
Promosi tempahan awal Huawei MatePad Air 2026

Pembeli yang membuat deposit RM100 untuk MatePad Air 2026 akan menerima rebat RM500, selain hadiah percuma bernilai sehingga RM4,003. Antara hadiah yang ditawarkan termasuk Huawei Smart Magnetic Keyboard, Huawei M Pencil Pro, Huawei Wireless Mouse, langganan WPS AI selama setahun, Huawei Notes dengan ciri AI serta Huawei Premium Service.
Untuk pilihan warna Airy Blue dan White, Huawei akan menyertakan papan kekunci magnetik di dalam kotak. Sementara itu, pembeli varian Sakura Pink akan menerima stailus M Pencil Pro.
Harga rasmi MatePad Air 2026 untuk Malaysia masih belum diumumkan dan hanya akan didedahkan pada 18 Ogos. Sebagai rujukan, harga model ini di Eropah bermula daripada EUR849, iaitu sekitar RM3,896, untuk varian 8GB + 256GB.
Versi 12GB + 256GB dengan skrin PaperMatte pula berharga EUR999, kira-kira RM4,639. Sebagai perbandingan, MatePad Air generasi pertama dilancarkan di Malaysia pada harga RM2,799 untuk konfigurasi 8GB + 256GB.
Sekiranya sudah dilancar nanti, anda boleh dapatkan tablet Huawei MatePad Air 2026 menerusi kedai fizikal Huawei, serta stor online Huawei, Lazada dan Shopee.
Spesifkasi Huawei MatePad Air 2026

Huawei MatePad Air 2026 menggunakan skrin OLED 12″ dengan resolusi 2.8K (2800 x 1840). Panel ini turut menyokong kadar segar semula 144Hz dengan kecerahan puncak sehingga 1,200 nits, di samping mempunyai bezel ultra npis 4.6mm. Skrin ini digandingkan dengan sistem 6 pembesar suara dengan rekaan crossover, yang didakwa mampu menawarkan kualiti bunyi yang jauh lebih imersif.
Dari segi prestasi, Huawei tidak mendedahkan nama cip yang digunakan secara rasmi, tetapi tablet ini dipercayai dikuasakan oleh cip Kirin T93C. Kuasa pemprosesan itu digandingkan bersama kapasiti RAM sehingga 12GB berserta storan dalaman 256GB.

Sistem pengimejan tablet ini merangkumi kamera belakang 50MP dankamera hadapan 12MP. Kapasiti bateri yang dimuatkan adalah 10,100mAh yang menyokong pengecasan pantas 66W melalui USB-C. Menurut Huawei, bateri ini mampu menawarkan masa tontonan video tanpa henti sehingga 16 jam.
Walaupun mempunyai kapasiti bateri yang besar, badan tablet ini cukup nipis dan ringan, berketebalan hanya 5.3mm dan berat 509 gram. Badannya juga dibina kukuh dan didakwa tahan bengkok sehingga 17% lebih baik. Tablet ini turut menyokong sambungan WiFi 7, Bluetooth 5.2 serta NearLink, namun tiada sokongan 5G.


Bagi aspek produktiviti, tablet ini menyokong penggunaan stailus M-Pencil Pro yang membawakan ciri pintar seperti pertukaran percakapan kepada suara, fungsi memperkemas tulisan nota tangan, serta AI Tutor. Terdapat juga fungsi kawalan jauh tanpa sentuh skrin yang berguna ketika anda melakukan pembentangan.
Ia turut lengkap dengan aplikasi lukisan GoPaint dan ekosistem WPS Office. Sejurus keluar dari kotak, itablet menjalankan sistem operasi HarmonyOS 4.3.0.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk Huawei MatePad Air 2026.





