amree06/10/2026 - 16:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 6 Okt — Hume Cement Industries Berhad bakal mendapatkan kelulusan pemegang saham untuk membeli semula 72.55 juta saham, bersamaan 10% daripada modal saham terbitannya, yang dianggarkan bernilai kira-kira RM203.14 juta.
Cadangan itu antara resolusi yang akan dibentangkan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pada 5 November 2026, ketika kumpulan pengeluar simen berkenaan berusaha mengoptimumkan struktur modal dan meningkatkan nilai kepada pemegang saham.
Berdasarkan pekeliling kepada pemegang saham yang diserahkan kepada Bursa Malaysia, syarikat itu mempunyai modal saham terbitan sebanyak 725.48 juta saham, dengan jumlah maksimum 72.55 juta saham boleh dibeli semula di bawah mandat berkenaan.
"Pembelian semula itu akan dibiayai sepenuhnya menggunakan dana dalaman sendiri, dengan keuntungan tertahan teraudit syarikat yang berjumlah RM181.27 juta setakat 30 Jun 2026 sebagai sumber pembiayaan," maklum Hume Cement kepada bursa.
Bagaimanapun, nilai RM203.14 juta itu hanyalah anggaran berdasarkan harga pasaran RM2.80 sesaham pada tarikh rujukan 9 September 2026 dan bukan nilai transaksi ditetapkan kerana kos sebenar bergantung harga pasaran ketika pembelian dilaksanakan.
Syarikat berkata pembelian semula saham berpotensi meningkatkan pulangan atas ekuiti (ROE) melalui pengurangan asas modal saham terbitan, selain membolehkan syarikat membeli saham apabila harga pasaran dianggap berada di bawah nilai intrinsiknya.

Pada masa sama, Hume Cement berkata kumpulan itu akan memastikan pembelian semula tersebut tidak akan menyebabkan pegangan saham awamnya jatuh di bawah paras minimum 25% yang ditetapkan Bursa Malaysia, dan ketika ini jumlahnya adalah 26.13%.
"Selain cadangan pembelian semula saham, pemegang saham turut diminta meluluskan pembaharuan mandat urus niaga pihak berkaitan berulang (RRPT) yang diperlukan bagi menyokong aktiviti operasi harian kumpulan," tambah makluman tersebut.
RRPT itu melibatkan antara lain transaksi dengan Hong Leong Company (Malaysia) Berhad, Hong Leong Manufacturing Group Sdn Bhd, Hong Bee Hardware Company, Sdn Berhad dan Hong Leong Investment Holdings Pte Ltd, termasuk urus niaga bahan binaan dan produk simen.
Hume Cement turut memaklumkan ia sudah menyempurnakan pelupusan 100% ekuiti dalam Hume Concrete Sdn Bhd kepada YTL Cement (Sarawak) Sdn Bhd pada 31 Mac 2026 dengan pertimbangan akhir sebanyak RM215.32 juta. - DagangNews.com






