Husna teruja sertai acara larian terbesar negara

23 Aug 2026 • 10:30 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Husna teruja sertai acara larian terbesar negara

LAUTAN manusia yang memenuhi jalan raya seawal pagi, bunyi tapak kasut bersilih ganti dan nafas yang semakin berat menjadi sebahagian daripada pengalaman Husna Muhammad ketika menyertai acara larian Score Marathon yang berlangsung di Putrajaya bulan lalu.

Bagi wanita berusia 27 tahun itu, pengalaman kali ini ternyata berbeza.

Jika penyertaan pertamanya tahun lalu membuatkan dia tertanya-tanya sejauh mana tubuh mampu bertahan, kali kedua pula membuatkan dia lebih memahami bahawa larian jarak jauh bukan hanya menguji kekuatan fizikal, tetapi juga mental.

Menurut Husna, perasaan teruja sudah mula dirasai sebelum larian bermula apabila melihat ribuan peserta berkumpul dan melakukan persediaan masing-masing.

Image from: Husna teruja sertai acara larian terbesar negara
Score Marathon 2026 di Putrajaya bulan lalu meraih Malaysia Book of Records bagi acara larian terbesar dengan 51,076 peserta.

Sememangnya edisi kali ini begitu istimewa apabila penganjurnya berjaya menghimpunkan 51,076 peserta sekali gus mencipta rekod Malaysia Book of Records bagi acara larian terbesar negara.
Acara larian itu merupakan anjuran Score Sports Management.

“Walaupun tahun ini merupakan penyertaan kedua saya, saya tetap rasa berdebar. Sebelum acara bermula, saya rasa bersemangat kerana ramai sangat peserta dan suasananya memang meriah.

“Saya juga difahamkan tahun ini merekodkan jumlah penyertaan paling ramai sepanjang acara itu dianjurkan.

“Kemudian, apabila semua mula berlari, kita pun terbawa-bawa dengan semangat orang sekeliling,” katanya.

Image from: Husna teruja sertai acara larian terbesar negara

Namun, keterujaan tersebut mula bertukar menjadi cabaran apabila memasuki laluan berbukit.

Kata anak kelahiran Sepang, Selangor itu, bahagian berkenaan antara detik paling sukar kerana tenaganya semakin berkurangan, sedangkan perjalanan masih perlu diteruskan.

“Apabila sampai di bukit memang terasa lelahnya itu. Sejujurnya kaki sudah mula penat dan saya masih perlu mendaki.

“Selepas tahu semakin penat, saya tidak paksa diri untuk sentiasa berlari.

“Saya mula perlahankan langkah atau berjalan sekejap. Bila rasa okey, saya sambung berlari semula,” ujarnya.

Baginya, melihat peserta lain turut berdepan kepenatan sedikit sebanyak membuatkan dirinya sedar perjuangan tersebut bukan dilaluinya seorang diri.

Ada peserta yang berlari pantas, ada yang memperlahankan langkah, malah tidak kurang juga yang berjalan sebelum kembali meneruskan larian.

“Bila tengok orang lain pun penat tapi masih teruskan, saya rasa macam saya pun kena habiskan. Dalam kepala masa itu cuma fikir, sudah sampai sejauh ini, rugilah kalau mengalah,” katanya.

Score Marathon merupakan antara acara larian berskala besar di Malaysia yang menghimpunkan peserta dalam beberapa kategori jarak, daripada larian santai sehingga maraton penuh.

Namun bagi Husna, penyertaannya bukan mengenai mengejar kedudukan atau bersaing dengan pelari lain.

Sebaliknya, dia lebih menghargai kepuasan apabila berjaya melawan keletihan dan menamatkan sesuatu yang dimulakannya.

“Apabila nampak garisan penamat, memang rasa lega sangat. Penat itu ada, tetapi dalam masa sama puas sebab akhirnya berjaya habiskan,” ujarnya.

The post Husna teruja sertai acara larian terbesar negara appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved