Ibu Syed Saddiq pernah menangis terima kecaman, kini lega anak bakal nikahi Bella Astillah – ‘Ada kata saya gagal didik...’

LocalPolitics
20 Aug 2026 • 11:40 AM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: Ibu Syed Saddiq pernah menangis terima kecaman, kini lega anak bakal nikahi Bella Astillah – ‘Ada kata saya gagal didik...’

MENJADI ibu kepada anak yang sering menjadi perhatian umum bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi apabila setiap keputusan dan hubungan peribadi turut menjadi bahan bualan ramai.

Situasi itu turut dilalui ibu kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz yang mengakui pernah menitiskan air mata apabila menerima mesej daripada individu tidak dikenali berhubung anaknya.

Namun, segala keresahan itu sedikit terubat selepas Syed Saddiq dan selebriti Bella Astillah mengumumkan bakal disatukan pada 10 Oktober depan.

Bagi Sharifah Mahani, berita tersebut bukan sahaja menggembirakan hati seorang ibu, malah memberikan kelegaan kepada seluruh keluarga yang kini boleh memulakan persiapan dengan lebih teratur.

“Allahuakbar, sungguh gembira. Amat-amat menggembirakan kerana sekarang ramai yang sudah tahu tentang hal ini.

“Ahli keluarga juga rasa senang dan persiapan akan dibuat seberapa segera. Marilah kita sama-sama doakan semuanya berjalan lancar,” katanya kepada Gempak.

Bagaimanapun, sebelum sampai ke fasa bahagia itu, wanita yang pernah berkhidmat sebagai guru selama 38 tahun tersebut melalui pengalaman yang bukan mudah.

Katanya, terdapat individu yang bukan sahaja mengkritik Syed Saddiq, malah menyalahkan dirinya sebagai ibu dan mempersoalkan cara dia mendidik anak bongsu daripada empat beradik itu.

Image from: Ibu Syed Saddiq pernah menangis terima kecaman, kini lega anak bakal nikahi Bella Astillah – ‘Ada kata saya gagal didik...’

“Pada awalnya saya menangis sebab tak biasa dengan situasi macam ini. Ada yang kata saya gagal jadi ibu, tak pandai mendidik Saddiq dan memalukan keluarga.

“Ada juga yang berkata negatif tentang Bella dan memandang rendah anak saya. Memang susah nak terima pada awalnya,” ujarnya.

Apa yang lebih meresahkan, mesej diterima secara berulang sehingga ada yang disifatkan mengandungi kata-kata nista dan ugutan.

Menyekat nombor telefon

Sharifah Mahani berkata, tindakan menyekat nombor telefon terbabit juga tidak semestinya menamatkan gangguan apabila terdapat individu yang menghubunginya semula menggunakan nombor berbeza.

“Kadang-kadang setiap minggu terima mesej, kadang-kadang seminggu dua kali. Bila saya sekat, ada yang guna nombor lain.

“Bukan dari dalam negara sahaja, ada juga nombor dari luar negara seperti Singapura. Saya sendiri tak tahu macam mana mereka boleh dapat nombor telefon,” katanya.

Meski berdepan pengalaman sedemikian, Sharifah Mahani kini memilih untuk tidak membiarkan kata-kata orang mengganggu kebahagiaan yang sedang dinanti keluarganya.

Sebaliknya, dia menyerahkan soal hubungan Syed Saddiq dan Bella kepada ketentuan ALLAH SWT, selain berharap segala urusan pasangan itu menuju ke alam perkahwinan dipermudahkan.

Image from: Ibu Syed Saddiq pernah menangis terima kecaman, kini lega anak bakal nikahi Bella Astillah – ‘Ada kata saya gagal didik...’

“Yang penting ALLAH Maha Mengetahui hubungan mereka. Biarlah hubungan mereka sah dari segi agama.

“Saya hanya mendoakan semoga ALLAH permudahkan, sahkan mereka bernikah pada tarikh tersebut dan bahagia sampai ke Jannah,” katanya.

Terdahulu, Syed Saddiq dan Bella mengumumkan tarikh pernikahan mereka pada 10 Oktober depan menerusi program MeleTOP, sekali gus mengakhiri tanda tanya ramai mengenai masa depan hubungan pasangan berkenaan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved