GUA MUSANG – [DIKEMAS KINI] Seorang pendaki wanita ditemukan lemas selepas dipercayai tergelincir dan terjatuh ke dalam sungai ketika menjalankan aktiviti pendakian di kawasan pedalaman Pos Balar di sini.
Mangsa, pekerja bank, Chen Fong Lian, 56, ditemukan pada jam 8 pagi, Ahad.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 3.21 petang pada Ahad berkenaan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa merupakan sebahagian daripada kumpulan 11 pendaki yang memulakan ekspedisi di kawasan Gunung Gerah, Gunung Bilah dan Gunung Biyed bermula pada Jumaat lepas.
“Pada Sabtu, kira-kira jam 7.30 malam, ketika melalui Sungai Betis dalam keadaan gelap, mangsa dipercayai tergelincir sebelum terjatuh ke dalam sungai.
“Ahli kumpulan menjalankan usaha pencarian segera, namun mangsa gagal ditemui pada malam kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.
**media[3510779]**
Beliau berkata, mangsa akhirnya ditemui kira-kira jam 8 pagi keesokan harinya, sekitar 300 meter dari lokasi kejadian dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia.
Menurutnya, mangsa merupakan seorang ibu tunggal dari Kuala Lumpur.
Operasi mencari dan menyelamat diselaraskan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi mengeluarkan mayat mangsa.
“Operasi tersebut melibatkan perjalanan menggunakan kenderaan pacuan empat roda selama kira-kira empat jam sebelum disusuli perjalanan berjalan kaki hampir 10 jam ke lokasi kejadian,” katanya.
Choon Foo berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan tindakan lanjut diambil di lokasi kejadian.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan, membuat perancangan rapi serta menggunakan khidmat pemandu arah berpengalaman ketika menjalankan aktiviti pendakian, khususnya di kawasan pedalaman tanpa liputan komunikasi.





