KUALA LUMPUR 20 Ogos - IJM Corp Bhd mengumpul RM385.1 juta menerusi penempatan persendirian 142.4 juta saham perbendaharaan pada harga antara RM2.72 hingga RM2.74 sesaham.
Difahamkan Tan Sri Azman Hashim, pengasas dan bekas pengerusi AMMB Holdings Bhd membeli 100 juta saham IJM menerusi penempatan persendirian itu.
Blok saham berkenaan bernilai sehingga RM274 juta berdasarkan harga penempatan maksimum RM2.74 sesaham.
Susulan pengambilalihan itu, pegangan Azman dalam IJM dianggarkan sekitar 2.7%.
Baki saham perbendaharaan berkenaan difahamkan telah ditempatkan kepada pelabur institusi.
Pemegang saham terbesar IJM ialah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan pegangan 20.8%, diikuti Retirement Fund Inc dengan 10.5%.
IJM dijadual mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) pada Khamis depan (27 Ogos). Pengerusinya, Tan Sri Krishnan Tan, sebelum ini mengumumkan beliau akan melepaskan jawatan selepas memutuskan untuk tidak menawarkan diri bagi pemilihan semula pada AGM tersebut.
Inisiatif realisasi nilai RM3 bilion
Sementara itu dalam kenyataan IJM berkata, penjualan semula saham perbendaharaan itu merupakan sebahagian daripada inisiatif realisasi nilai RM3 bilion IJM dalam tempoh tiga tahun.
Ia merangkumi cadangan penyenaraian IJM Construction Sdn Bhd, penjanaan semula nilai konsesi tol matang Kumpulan di Malaysia serta pengurangan secara berperingkat pelaburan Kumpulan di India.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan merangkap Pengarah Urusan IJM, Dato’ Lee Chun Fai, berkata pihaknya telah membuat komitmen yang jelas untuk membuka nilai daripada keseluruhan perniagaan Kumpulan.
“Ini merupakan satu lagi langkah nyata dalam usaha menyampaikan nilai kepada pemegang saham seperti yang telah kami tetapkan.
“Kami akan terus melaksanakan inisiatif yang masih berbaki secara berdisiplin serta memastikan pemegang saham mendapat perkembangan terkini mengenai kemajuan kami,” katanya.
Tiada saham baharu diterbitkan dalam transaksi tersebut, manakala saham yang dijual semula itu kembali dalam edaran dengan hak mengundi dan hak dividen seperti biasa.
Selepas penjualan semula itu, modal saham terbitan IJM terdiri daripada 3,647,566,120 saham biasa.






