hamden13/08/2026 - 09:00 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 13 Ogos - Saham KPJ Healthcare Bhd (KPJ) kini berada pada kedudukan yang menarik untuk pelabur membeli atau menambah pegangan di dalam syarikat penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta terkemuka negara itu, menurut RHB Research.
Firma penyelidikan itu berkata, ini kerana saham KPJ kini didagangkan pada kira-kira 14.7 kali EV/EBITDA iaitu lebih rendah berbanding 16.7 kali ketika saham mencecah paras tertinggi 52 minggu pada MYR3.52, sekali gus menawarkan titik kemasukan yang lebih menarik kepada pelabur.
Firma itu menambah, penurunan ini lebih mencerminkan normalisasi penilaian sektor penjagaan kesihatan berbanding kemerosotan material dalam asas operasi KPJ.
Selain itu, sentimen sektor turut terjejas selepas penyenaraian Sunway Healthcare serta pelaksanaan berperingkat strategi RESET di Malaysia.
"Namun, skala operasi KPJ memberikan kelebihan dari sudut kos, khususnya melalui strategi perolehan yang berpotensi membantu mengekalkan margin EBITDA walaupun intensiti hasil kumpulan relatif lebih rendah.
"Dalam jangka panjang, kami melihat KPJ sebagai antara penerima manfaat utama daripada pelaksanaan MediAsas yang bakal datang.
"Sehubungan itu, kami mengekalkan saranan ‘Beli’ dengan TP MYR3.77, mencerminkan potensi kenaikan sekitar 23% serta hasil dividen kira-kira 2%," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
RHB Research berkata, dengan keputusan suku kedua 2026 (2Q26) dijangka diumumkan pada 21 Ogos, perhatian kini tertumpu kepada pemulihan jumlah pesakit, peningkatan intensiti hasil serta pemulihan margin yang dijangka menyokong prestasi pendapatan kumpulan.
"Kami menjangkakan KPJ mencatat keuntungan bersih teras sekitar MYR92 juta bagi 2Q26, meningkat 16% tahun ke tahun (YoY) dan 28% suku ke suku (QoQ), menjadikan keuntungan teras separuh pertama 2026 (1H26F) sekitar MYR163 juta, atau 40% daripada anggaran setahun penuh kami," katanya.
Bagi 2Q26, RHB Research mengunjurkan pertumbuhan pendapatan KPJ disokong oleh peningkatan jumlah kemasukan pesakit dalam dan intensiti hasil.
"Anggaran kami mengambil kira pertumbuhan YoY sebanyak 1% bagi kemasukan pesakit dalam dan 4% bagi intensiti hasil, manakala margin EBITDA dijangka meningkat kepada 22.5%, berbanding 21.1% pada suku sebelumnya," katanya.
Peningkatan margin secara QoQ dijangka disokong oleh kadar penggunaan katil yang lebih tinggi selepas kelembapan ketika musim perayaan, walaupun sebahagiannya diimbangi oleh pelaburan berterusan dalam infrastruktur IT dan digital.
"Kami juga menggunakan kadar cukai efektif sebanyak 32%, sedikit lebih tinggi daripada panduan pengurusan 28%-31%, menjadikan anggaran kami lebih konservatif," tambahnya lagi.
Dari perspektif pendapatan, RHB Research berkata, 1H26F dijangka menyumbang sekitar 40% kepada unjuran setahun penuh firma itu dan 41% kepada konsensus.
Ini katanya, masih berada dalam lingkungan sejarah, dengan 1H lazimnya menyumbang sekitar 34%-38% daripada pendapatan setahun penuh KPJ pada 2024-2025.
4Q dijangka lebih kukuh
RHB Research berpandangan ruang untuk prestasi yang lebih baik pada separuh kedua tahun ini, khususnya pada 4Q, memandangkan portfolio KPJ yang lebih berorientasikan domestik dan pendedahan yang lebih rendah kepada pelancongan perubatan.
Selain pemulihan jumlah pesakit dan intensiti hasil, potensi kenaikan boleh datang daripada lebih banyak hospital dalam fasa matang yang mula mencatat keuntungan sebelum cukai (PBT) positif.
Perkembangan ini berpotensi meningkatkan sumbangan hospital-hospital tersebut kepada keuntungan kumpulan apabila kadar penggunaan dan skala operasi terus bertambah baik.
Dalam perkembangan terbaharu, KPJ telah melancarkan pusat kecemerlangan (COE) ketiganya di KPJ Penang Specialist, memberi tumpuan kepada ortopedik dan reumatologi.
Ia menyusuli pelancaran COE Jantung & Paru-paru di KPJ Johor Specialist Hospital serta COE Neurosains & Strok di Damansara Specialist Hospital 2 (DSH2).
Ketiga-tiga COE ini merupakan sebahagian daripada rancangan KPJ untuk melancarkan 15 COE di bawah pelan hala tuju KPJ Health System (KPJHS).
"Kami melihat strategi ini sebagai pemangkin pertumbuhan jangka panjang kerana ia bukan sahaja memperdalam keupayaan klinikal kumpulan, malah berpotensi meningkatkan intensiti hasil melalui perkhidmatan bernilai lebih tinggi.
"Pada masa sama, rangkaian hospital sekunder dan perkongsian penjagaan primer KPJ boleh digunakan untuk meningkatkan aliran rujukan kepada COE, sekali gus menyokong pertumbuhan jumlah pesakit," katanya. - DagangNews.com






