Vestland sasar raih RM60.44 juta melalui penempatan persendirian

LocalBusiness & Finance
5 Aug 2026 • 9:06 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Vestland sasar raih RM60.44 juta melalui penempatan persendirian Image from: Vestland sasar raih RM60.44 juta melalui penempatan persendirian liza05/08/2026 - 09:06 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 5 Ogos – Vestland Bhd merancang untuk mendapatkan dana baharu sehingga RM60.44 juta menerusi penempatan persendirian ketika syarikat itu sedang melaksanakan projek bernilai RM802 juta dan aktif membida kontrak baharu melebihi RM3.4 bilion.

 

Cadangan itu bertujuan menampung keperluan modal kerja bagi projek yang sedang dijalankan selain menyediakan dana untuk projek baharu sekiranya syarikat berjaya memperoleh kontrak yang sedang dibida.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Vestland berkata ia akan menerbitkan sehingga 94.43 juta saham baharu bersamaan kira-kira 10% daripada jumlah saham terbitannya yang diperbesarkan kepada pelabur pihak ketiga yang akan dikenal pasti kemudian.

 

Berdasarkan harga terbitan indikatif 64 sen sesaham, syarikat dianggarkan mampu mengumpul hasil kasar sehingga RM60.44 juta menerusi pelaksanaan penempatan persendirian tersebut.

 

Harga indikatif itu mewakili diskaun kira-kira 9.04% berbanding purata harga wajaran mengikut jumlah dagangan lima hari (VWAP) saham Vestland sebanyak 70.36 sen sehingga 3 Ogos 2026.

 

Sebahagian Besar Dana Untuk Modal Kerja

Daripada jumlah hasil yang bakal diperoleh, sebanyak RM35.65 juta akan digunakan sebagai modal kerja bagi projek sedia ada manakala RM23.77 juta lagi diperuntukkan bagi memenuhi keperluan modal kerja projek baharu.

 

Vestland memaklumkan empat projek yang sedang dilaksanakannya diperoleh antara 16 Januari hingga 26 Jun 2026 dengan nilai kontrak keseluruhan sebanyak RM802 juta.

 

Dalam masa sama, syarikat turut menyertai bidaan bagi 15 kontrak baharu dengan nilai keseluruhan melebihi RM3.4 bilion yang mencerminkan usaha berterusan untuk mengembangkan buku tempahannya.

 

Keputusan bagi semua kontrak yang sedang dibida itu dijangka diketahui dalam tempoh antara tiga hingga 12 bulan akan datang.

 

Sekiranya berjaya memperoleh sebahagian daripada kontrak berkenaan, dana yang diperoleh menerusi penempatan persendirian itu dijangka membantu syarikat memenuhi keperluan operasi serta pelaksanaan projek tanpa menjejaskan aliran tunainya.

 

Dijangka Selesai Menjelang Suku Keempat

Vestland turut memaklumkan syarikat tidak melaksanakan sebarang aktiviti pengumpulan dana melalui ekuiti dalam tempoh 12 bulan lalu.

 

Cadangan penempatan persendirian itu dijangka dapat diselesaikan menjelang suku keempat 2026, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa serta syarat-syarat yang ditetapkan.

 

Bagi menguruskan pelaksanaan urus niaga tersebut, Vestland melantik AmInvestment Bank Bhd sebagai penasihat utama dan ejen penempatan tunggal.

 

Langkah mendapatkan modal baharu itu dijangka memberi ruang kepada syarikat untuk memenuhi keperluan projek semasa, di samping meningkatkan kesediaannya menyertai lebih banyak projek pada masa akan datang. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved