amree09/09/2026 - 12:40 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 9 Sept — QES Group Berhad perlu menunggu sehingga 2029 untuk menikmati manfaat operasi yang lebih ketara daripada pelaburan hartanahnya di Singapura, menurut analisis Apex Securities.
Premis dua unit pejabat baharu berjumlah RM17.5 juta itu hanya dijangka menerima milikan kosong pada 30 Jun 2029 dan tempoh menunggu panjang tersebut mengehadkan sumbangan hasil jangka pendek.
Bagaimanapun ujar firma tersebut, pengambilalihan aset dengan status pegangan bebas di kawasan New Industrial Road, Space Nova itu dilihat positif untuk menyokong pengembangan operasi kumpulan.
"Unit ini akan digunakan anak syarikat QES, QES (Singapore) Pte Ltd (QSG), bagi menambah kapasiti operasi serta ruang demonstrasi untuk perniagaan instrumen saintifik," jelas nota Apex Securities
Langkah pembelian daripada JVA Nir Pte Ltd itu juga dijangka dapat membantu kumpulan mengatasi kekangan ruang sedia ada ketika QSG bersedia mengembangkan produk dan pasaran di Asia Tenggara.
Tambahnya, pengambilalihan itu merupakan pelaburan yang membolehkannya menyediakan kapasiti lebih awal bagi menyokong pertumbuhan perniagaan, selain mengurangkan risiko kekangan ruang fizikal.
Antaranya kata Apex Securities, keperluan ruang demonstrasi untuk pelanggan, dan dalam jangka panjang, pemilikan premis sendiri turut boleh mengurangkan kos penyewaan bulanan kepada QES.

"Bagaimanapun, pemerolehan itu meningkatkan kos pembiayaan apabila 90% daripada nilai pembelian, iaitu RM15.7 juta dibiayai pinjaman manakala baki RM1.8 juta menggunakan dana dalaman," katanya.
Justeru, firma tersebut mengurangkan sedikit unjuran keuntungan bersih teras kumpulan bagi FY27 dan FY28 kepada masing-masing RM34.4 juta dan RM43.4 juta susulan kos kewangan yang lebih tinggi.
Dari sudut kewangan jelas Apex Securities, QES sebenarnya masih ada cukup ruang untuk menanggung komitmen tersebut, dengan ia mengunjurkan tunai dan deposit tetap FY26 sebanyak RM142.5 juta.
Ia menjangkakan kedudukan tunai bersih kekal walaupun pinjaman naik secara berperingkat susulan pembayaran pemerolehan, dengan nisbah hutang pula dijangka memuncak hanya 0.24 kali pada FY26.
"Kami juga mengekalkan unjuran keuntungan bersih teras FY26 pada RM26.7 juta, selepas diambil kira peningkatan kos kewangan daripada pemerolehan aset tersebut akan memberi sedikit kesan," katanya.
Sehubungan itu, Apex Securities mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas saham QES dengan harga sasaran (TP) masih lagi 75 sen sesaham, berdasarkan 20 kali nisbah harga kepada pendapapatan (P/E).
Firma itu namun mengingatkan risiko utama yang perlu diperhatikan termasuk kelembapan perbelanjaan modal industri semikonduktor, turun naik mata wang asing serta perubahan kadar faedah. - DagangNews.com





