
BINTULU – Taktik sindiket pengedaran dadah menyeludup 80.35 kilogram (kg) syabu bernilai RM4.01 juta yang diikrar sebagai ‘tofu cat litter’ atau pasir kucing gagal mengaburi Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak.
Pemeriksaan mendapati bahan terlarang tersebut diletakkan dalam beberapa bungkusan dan dialamatkan ke sebuah premis di Bandar Bintulu.
Pengarah Kastam Negeri Sarawak, Datuk Norizan Yahya berkata, rampasan pada 28 Ogos lalu itu dijalankan Cawangan Penguatkuasaan JKDM Bintulu dengan kerjasama Cawangan Narkotik dan Cawangan Risikan Ibu Pejabat JKDM.
“Bungkusan tersebut diikrar sebagai tofu cat litter, namun dipercayai berisi dadah.
“Pemantauan dijalankan selama 12 hari, namun tiada pihak yang tampil menuntut bungkusan tersebut,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Norizan berkata, penggunaan maklumat penerima yang tidak wujud bertujuan memastikan penghantarannya tidak dapat dikesan pihak berkuasa.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.
Orang ramai digesa membantu JKDM dalam memerangi aktiviti penyeludupan termasuk rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan dengan menghubungi talian bebas tol 1-800-88-8855 atau pejabat kastam berhampiran.
The post Ikrar pasir kucing, rupanya dadah RM4.01 juta appeared first on Kosmo Online.


![[VIDEO] Pecut 50km daripada polis, rupanya bawa dadah](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/kejar-1024x817.jpeg)



