51.686kg serbuk MDMA bernilai RM7.75 juta dirampas

10 Sep 2026 • 4:22 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 51.686kg serbuk MDMA bernilai RM7.75 juta dirampas
Nuzulan (dua kanan) menunjukkan dadah yang dirampas.

KUALA LUMPUR: Sebanyak 51.686 kilogram (kg) serbuk dadah disyaki MDMA bernilai RM7.75 juta dirampas dalam serbuan di sebuah kondominium di Jalan Ceylon, di sini, pada 19 Ogos lalu.

Serbuan dijalankan pada jam 3.30 petang, hasil maklumat dan risikan yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintenden Nuzulan Mohd Din, berkata dadah berkenaan akan diproses sebelum dipasarkan ke sekitar Lembah Klang.

"Seramai lima individu berusia antara 19 hingga 35 tahun ditahan dalam serbuan berkenaan membabitkan dua lelaki dan dua wanita bukan warganegara serta seorang lelaki warga tempatan.

"Hasil pemeriksaan menemukan 51 paket serbuk MDMA dengan anggaran berat keseluruhan 51.686kg, manakala nilai rampasan dianggarkan RM7,752,900," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini pada Khamis.

Nuzulan berkata, susulan daripada siasatan serbuan pertama, pihak BSJN Daerah Dang Wangi, melakukan serbuan susulan di kondominium sama sehingga membawa kepada penahanan seorang lelaki bukan warganegara berusia 35 tahun yang mempunyai kaitan dengan serbuan pertama.

"Polis turut merampas pelbagai jenis dadah dalam serbuan susulan itu, termasuk 5,901 gram MDMA, 55kg ganja, lapan kg 'Pili Abah' dan 150kg 'Pil SSI', dengan nilai keseluruhan rampasan tambahan dianggarkan RM908,455,: katanya.

Nuzulan berkata, pihaknya turut merampas pelbagai peralatan untuk memproses dadah turut dirampas.

"Hasil ujian saringan air kencing mendapati empat suspek positif dadah jenis ketamin, Amphetamine dan Methamphetamine, manakala dua lagi suspek negatif.

"Siasatan mendapati semua suspek, termasuk lelaki warga tempatan, dipercayai berperanan sebagai pemproses dan pengedar dadah di kondominium berkenaan sejak empat bulan lalu," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Kita turut menyita harta suspek bernilai RM9,076,655 mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, termasuk sebuah kenderaan jenis Lexus bernilai RM410,000, wang tunai RM2,500, jam tangan RM2,500 dan gelang RM1,800," katanya.

Nuzulan berkata, empat suspek dituduh mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama, manakala dua suspek lain dijadikan saksi pendakwaan.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved