
KAJANG: Sebanyak 14 lokasi penempatan warga asing digempur Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerusi operasi bersepadu di seluruh negara dalam tempoh dua hari bermula Isnin lalu.
Operasi yang turut disertai agensi lain seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Tenaga Kerja serta Majlis Keselamatan Negara itu turut menahan 1,043 warga asing.
Kesemua mereka ditahan terdiri daripada 880 lelaki dan 163 wanita berusia lingkungan 17 hingga 59 tahun.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi itu dilaksanakan susulan aduan dan maklumat awam berhubung kehadiran serta aktiviti warga asing di lokasi terbabit yang menimbulkan keresahan dan kebimbangan dalam kalangan komuniti setempat.
Menurutnya, tindakan ini bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen serta mengesan sebarang bentuk pelanggaran peraturan.
“Seramai 3,307 individu diperiksa sepanjang operasi itu,” katanya selepas operasi penguatkuasaan Op Sasar di Apartment Suteramas, Sungai Chua di sini malam tadi.
Beliau berkata, paling ramai tangkapan ialah Bangladesh, Indonesia dan Myanmar.
Katanya, penguatkuasaan akan diteruskan dan secara purata lebih lima operasi dilaksanakan setiap hari.
“Kita tidak akan berhenti dan akan teruskan tindakan sehinggalah isu pendatang asing tanpa izin (PATI) dapat kita kurangkan.
“Bagi saya operasi ini memberi kesan. Tahun ini lebih 31,000 warga asing telah dihantar pulang ke negara asal dan mereka yang ditangkap dan masuk depot seramai 28,000 setakat Julai,” ujarnya.
Dalam pada itu, Zakaria menyeru warga asing untuk mengambil peluang untuk pulang secara sukarela melalui Program Repatriasi Migran (PRM).
“Kita masih laksanakan PRM. Datang serah diri dan bayar kompaun.
“Mereka yang berada di negara kita secara tidak sah sebaiknya ambil peluang program dibuat ini supaya mereka tidak ditahan di depot imigresen,” ujarnya. –UTUSAN
The post Imigeresen gempur 14 penempatan warga asing, 1,043 PATI ditahan appeared first on Utusan Malaysia.





