MELAKA - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 59 warga asing, termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu (Ops Kutip) di dua tapak pembinaan di sekitar Bukit Baru di sini hari ini.
Pengarah JIM Melaka, Anirwan Fauzee Mohd Aini berkata, operasi yang dijalankan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka itu melibatkan pemeriksaan terhadap 73 individu terdiri daripada warga tempatan dan warganegara asing.
"Kesemua yang ditahan berusia antara 10 hingga 54 tahun, termasuk seorang wanita terdiri daripada 44 warga Bangladesh, sembilan (Indonesia), tiga (Myanmar) dan tiga (Pakistan) atas pelbagai kesalahan imigresen.
"Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun disyaki warga Indonesia turut ditahan kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Anirwan Fauzee berkata, antara kesalahan disyaki dilakukan adalah di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(c) akta sama dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Beliau berkata, kesemua warganegara asing yang ditahan telah dibawa dan ditempatkan di Depot Imigresen Machap Umboo, Alor Gajah untuk tindakan lanjut.
"JIM Melaka akan terus mempergiat usaha penguatkuasaan melalui operasi secara berterusan bagi membanteras pendatang tanpa izin serta warga asing yang melanggar syarat pas,” katanya. - Bernama






