
LONDON: Peningkatan penempatan haram di jalan utama pusat bandar London mencetuskan keresahan dalam kalangan penduduk dan peniaga tempatan selepas lebih 40 buah khemah dipacak di pembahagi jalan Euston Road.
Penempatan itu dilaporkan menjadi lokasi perlindungan puluhan gelandangan yang sebahagian besarnya dipercayai warga asing dari Romania dan Bulgaria.
Komuniti peniaga tempatan mendakwa kehadiran kumpulan itu membawa gelombang jenayah baharu termasuk kecurian berulang membabitkan minuman keras dan bahan pelarut selain gangguan ketenteraman awam.
“Mereka mencuri alkohol dan pelarut dari kedai saya hampir setiap hari. Saya telah mengalami kerugian ratusan malah mungkin ribuan pound,” luah seorang pemilik kedai tempatan.
Peniaga berkenaan mendakwa masalah itu berlarutan sejak musim panas 2023. Walaupun aduan kerap dibuat kepada pihak polis, tindakan susulan disifatkan tidak berkesan untuk membasmi isu tersebut.
“Bila kita tegur, mereka bertindak sangat agresif. Mereka langsung tidak suka kalau gambar mereka dirakam,” katanya lagi.
Kawasan khemah di Euston Road itu terletak dalam kawasan parlimen Holborn dan St Pancras yang diwakili bekas Perdana Menteri United Kingdom (UK), Keir Starmer.
Penempatan berkenaan dilaporkan mula dikesan seawal Ogos 2022 dan kini terus meluas berlipat kali ganda meskipun pelbagai pemantauan dibuat oleh pihak polis dan skuad gelandangan majlis perbandaran.
Jurucakap Polis Metropolitan London mengesahkan pihak berkuasa sedia maklum mengenai penempatan haram tersebut dan kini sedang bekerjasama dengan pelbagai agensi bagi mencari penyelesaian jangka panjang.
Sementara itu, Majlis Perbandaran Camden menegaskan keutamaan mereka adalah untuk membantu golongan gelandangan berkenaan membina semula kehidupan di luar jalanan, di samping memastikan keselamatan dan kebersihan persekitaran awam terjaga.
Seorang penghuni khemah dari Romania yang mahu dikenali sebagai Maria mendakwa dia datang ke UK untuk mencari kehidupan yang lebih baik akibat kesempitan hidup dan ketiadaan kediaman di negara asalnya. – AGENSI
The post Imigran warga asing bina khemah tepi jalan London appeared first on Utusan Malaysia.





