
PETALING JAYA: Penyanyi, Idayu, mendedahkan dia mempunyai hasrat untuk berentap di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) tetapi enggan terlalu berharap kerana dia percaya tugas dan komitmen yang digalasnya kini juga merupakan satu rezeki.
Idayu atau Nur Farah Idayu Yaakob, 41, berkata, dia lebih selesa mengikut rentak kehidupannya dan tidak mahu meletakkan apa-apa harapan pada diri sendiri.
“Sepanjang bergelar artis saya tidak meletakkan 100 peratus komitmen dan fokus dalam industri kerana saya terikat dengan banyak benda dan tugas-tugas lain. Impian itu ada tetapi tidak terlalu berharap dan akhirnya rezeki Allah yang tetapkan juga.
“Saya cuma mengikut rentaknya dan jalani hidup seperti biasa. Impian saya yang paling utama adalah untuk melihat apresiasi muzik di Malaysia meningkat kerana latar belakang saya sebelum bergelar artis adalah lulusan muzik di universiti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Mengulas mengenai hala tuju seninya, juara Akademi Fantasia Megastar ini menjelaskan fokus utamanya kini adalah untuk terus menimba ilmu dan mendalami bidang berkenaan.
“Sampai sekarang saya masih belajar dan kejar ilmu. Sehingga sekarang juga saya masih berhubung dan meminta pendapat cikgu-cikgu saya atau dengan orang yang lebih berpengetahuan dalam bidang muzik ini.
“Kita kena sedar peredaran zaman yang tua akan berganti kepada yang muda. Zaman berubah kita kena pandai membawa diri,” katanya.
Untuk rekod, Idayu merupakan peserta Akademi Fantasia Musim 3 (2005) dan sangat dikenali dengan suara sopranonya yang tinggi. -UTUSAN
The post Impian mahu ke AJL itu ada tetapi tidak terlalu berharap – Idayu appeared first on Utusan Malaysia.






