liza27/08/2026 - 10:04 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 27 Ogos – Perniagaan yang stabil serta pemilikan infrastruktur gas strategik terus menjadi kekuatan Petronas Gas Berhad manakala projek RGT-3 akan terus membuka peluang pertumbuhan baharu kepada syarikat itu, menurut CGS International.
Firma penyelidikan itu berkata, kekuatan asas Petronas Gas turut disokong oleh kedudukan tunai bersih yang kukuh serta aliran tunai bebas yang positif.
Selain itu, hasil dividen sekitar 4% bagi tempoh tahun kewangan 2026 hingga 2028 turut dilihat sebagai antara faktor yang menyokong kemampanan pembayaran dividen syarikat.
Bagi tahun kewangan 2026, CGSI mengunjurkan Petronas Gas mencatatkan keuntungan bersih RM1.74 bilion.
Keuntungan itu dijangka meningkat kepada RM1.85 bilion pada 2027 sebelum mencecah RM2 bilion pada 2028, mencerminkan jangkaan pertumbuhan berterusan dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Prestasi Suku Kedua Sokong Prospek Positif
Pandangan positif itu turut disokong oleh prestasi Petronas Gas bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026 (2QFY26).
Keuntungan syarikat meningkat 3% kepada RM454 juta daripada RM443 juta pada suku sebelumnya. Prestasi itu juga meningkat 2% berbanding RM447 juta yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
CGSI berkata, keputusan bagi separuh pertama tahun kewangan 2026 pula menepati jangkaannya apabila keuntungan berjumlah RM897 juta.
Jumlah itu mewakili 51% daripada unjuran keuntungan bagi keseluruhan tahun kewangan 2026, sekali gus menunjukkan prestasi syarikat berada pada landasan yang dijangkakan oleh firma penyelidikan tersebut.
Penyaluran Gas Jadi Pemacu Utama
CGSI menyifatkan segmen penyaluran gas sebagai penyumbang utama kepada prestasi Petronas Gas pada suku kedua.
Prestasi kukuh segmen itu berjaya mengimbangi kelemahan ketara yang dicatatkan oleh perniagaan Utiliti.
Keuntungan kasar segmen penyaluran gas melonjak 20% berbanding suku sebelumnya dan 32% berbanding tempoh sama tahun lalu kepada RM158 juta.
Margin keuntungan segmen itu turut meningkat kepada 49% berbanding 41% pada suku sebelumnya dan 40% dalam tempoh sama tahun lalu.
Menurut CGSI, peningkatan tersebut didorong oleh hasil tambahan daripada pemulihan tertangguh kos penggunaan gas dalaman bagi tahun-tahun sebelumnya di bawah Peraturan Berasaskan Insentif (Incentive Based Regulation - IBR), selain kos pembaikan dan penyelenggaraan yang lebih rendah.
Perniagaan Regasifikasi Catat Pertumbuhan
Selain penyaluran gas, perniagaan regasifikasi Petronas Gas turut mencatatkan perkembangan positif pada suku kedua.
Pendapatan segmen itu meningkat 1% berbanding suku sebelumnya dan 7% berbanding tempoh sama tahun lalu kepada RM358 juta. Keuntungannya pula meningkat 3% berbanding suku sebelumnya dan 7% berbanding tahun sebelumnya.
CGSI berkata pertumbuhan tersebut didorong oleh aliran pendapatan baharu daripada perkhidmatan penyimpanan gas asli cecair (liquefied natural gas - LNG) di Pengerang, Johor.
Perkhidmatan itu mula menyumbang kepada pendapatan Petronas Gas sejak Ogos 2025 seterusnya menyediakan sumber pertumbuhan tambahan kepada syarikat.
Dividen Kukuh, Saranan Pegang Dikekalkan
Petronas Gas turut mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 16 sen sesaham bagi suku tersebut. Ini menjadikan jumlah dividen bagi separuh pertama tahun kewangan 2026 sebanyak 32 sen sesaham, sama seperti pembayaran dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Walaupun melihat kekuatan asas dan prospek pertumbuhan Petronas Gas secara positif, CGSI berpandangan faktor tersebut sebahagian besarnya telah dicerminkan dalam harga saham semasa.
Saham Petronas Gas berada pada RM17.58 sesaham, berbanding harga sasaran RM18.60 yang ditetapkan oleh firma penyelidikan itu.
Sehubungan itu, CGS International mengekalkan saranan “Pegang” (Hold) terhadap Petronas Gas dan menyifatkan kedudukan kewangan yang kukuh dan prospek pertumbuhan masa depan terus menyokong asas syarikat. - DagangNews.com





