liza27/08/2026 - 19:48 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 27 Ogos – Mudajaya Group Berhad mencatatkan lonjakan ketara dalam keuntungan selepas cukai kepada RM44.5 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026 berbanding RM3.49 juta yang direkodkan dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Prestasi itu turut menyaksikan keuntungan yang boleh diagihkan kepada pemilik syarikat meningkat kepada RM41.81 juta daripada RM2.24 juta manakala pendapatan sesaham melonjak kepada 7.86 sen berbanding 0.4 sen sebelum ini.
Hasil kumpulan pula meningkat 10% kepada RM60.17 juta berbanding RM54.8 juta pada suku kedua tahun kewangan sebelumnya.
Keuntungan sebelum cukai melonjak kepada RM47.54 juta daripada RM5.86 juta, disokong terutamanya oleh peningkatan sumbangan daripada perniagaan simen serta bahagian keuntungan yang lebih tinggi daripada pelaburan kumpulan dalam RKM.
Mudajaya berkata, peningkatan hasil pada suku berkenaan berikutan sumbangan lebih besar daripada perniagaan simen di bawah segmen pembuatan dan perdagangan.
Perniagaan Simen Dan Tenaga Pacu Keuntungan
Segmen pembuatan dan perdagangan mencatatkan peningkatan hasil susulan pertambahan pengeluaran dan jualan daripada perniagaan simen selepas kerja naik taraf serta pembaikan kilang diselesaikan secara berperingkat.
Segmen berkenaan turut mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM52,000 pada suku kedua 2026 berbanding kerugian sebelum cukai RM7.68 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Segmen pembinaan pula mencatatkan hasil lebih rendah berikutan beberapa projek pembinaan kumpulan semakin hampir kepada peringkat siap, manakala perniagaan hartanah merekodkan prestasi hasil yang relatif stabil.
Keuntungan Enam Bulan Turut Meningkat Mendadak
Bagi tempoh enam bulan pertama berakhir 30 Jun 2026, Mudajaya mencatatkan hasil RM104.70 juta, turun 6% daripada RM111.14 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Walaupun hasil keseluruhan berkurangan, keuntungan selepas cukai melonjak kepada RM46.82 juta daripada RM5.39 juta manakala keuntungan sebelum cukai meningkat kepada RM51.05 juta berbanding RM7.93 juta sebelumnya.
Keuntungan yang boleh diagihkan kepada pemilik syarikat bagi tempoh enam bulan pula meningkat kepada RM43.76 juta daripada RM2.91 juta, menunjukkan peningkatan keuntungan yang ketara berbanding tahun lalu.
Menurut Mudajaya, peningkatan keuntungan bagi tempoh enam bulan itu disumbangkan oleh bahagian keuntungan lebih tinggi daripada pelaburannya dalam RKM serta pengiktirafan keuntungan daripada pelupusan hartanah, loji dan peralatan.
Dari segi kedudukan kewangan, jumlah pinjaman kumpulan berkurangan kepada kira-kira RM570 juta pada 30 Jun 2026 daripada RM616.5 juta pada akhir 2025 dengan pengurangan hutang itu dijangka menghasilkan penjimatan kos faedah sekitar RM2.9 juta setahun.
Fokus Kepada Simen, Tenaga Boleh Diperbaharui Dan Hartanah
Bagi prospek masa hadapan, Mudajaya berkata, perniagaan Real Jade Group di China kekal sebagai penyumbang penting kepada kumpulan dengan mencatatkan hasil RM77.2 juta bagi tempoh enam bulan pertama 2026, mewakili 74% daripada keseluruhan hasil kumpulan.
Namun, kumpulan mengakui persekitaran operasi di China kekal mencabar berikutan ketidaktentuan ekonomi, pemulihan perlahan sektor hartanah dan pembinaan serta permintaan yang lemah dalam industri simen.
Mudajaya kini meneruskan projek menaik taraf kapasiti pengeluaran klinker daripada 2,500 tan sehari kepada 4,000 tan sehari yang dijangka meningkatkan kecekapan operasi dan menjimatkan kos pengeluaran sekitar RMB50 juta setahun apabila beroperasi sepenuhnya.
Kumpulan itu juga akan terus mencari peluang dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, termasuk Program Solar Berskala Besar (LSS), Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) dan Skim Bekalan Tenaga Boleh Diperbaharui Korporat (CRESS).
Dalam segmen hartanah, Mudajaya meneruskan pembangunan projek kediaman bernilai pembangunan kasar RM66 juta di Batu Kawah New Township, Kuching, Sarawak, yang kini dalam pembinaan dan dijangka siap pada suku kedua 2027. -DagangNews.com






