Untung MISC melonjak 148.6% kepada RM1.15 bilion pada suku kedua

LocalBusiness & Finance
27 Aug 2026 • 2:17 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Untung MISC melonjak 148.6% kepada RM1.15 bilion pada suku kedua Image from: Untung MISC melonjak 148.6% kepada RM1.15 bilion pada suku kedua liza27/08/2026 - 14:17 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 27 Ogos – MISC Berhad mencatatkan keuntungan bersih RM1.17 bilion pada suku kedua tahun kewangan 2026, meningkat lebih dua kali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu apabila perniagaan pengangkutan minyak mendapat manfaat daripada kenaikan kadar tambang kapal tangki.

 

Keuntungan bersih bagi tempoh tiga bulan berakhir 30 Jun 2026 itu meningkat daripada RM469.4 juta pada suku kedua tahun kewangan 2025.

 

Hasil kumpulan pula melonjak 76.1% kepada RM4.79 bilion berbanding RM2.72 bilion sebelum ini didorong oleh kadar tambang pengangkutan yang lebih tinggi dan peningkatan hari operasi dalam segmen Petroleum dan Produk.

 

Keuntungan operasi meningkat 56.1% kepada RM1.18 bilion daripada RM755.2 juta manakala keuntungan yang boleh diagihkan kepada pemegang saham melonjak 148.6% kepada RM1.15 bilion daripada RM464.4 juta.

 

Prestasi Kukuh Disokong Perniagaan Petroleum

Pada masa sama, perniagaan Luar Pesisir (Offshore) serta Marin dan Kejuruteraan Berat turut mencatatkan hasil lebih tinggi berikutan kemajuan projek yang lebih baik.

 

Perniagaan Gas pula berjaya mendapatkan kontrak sewaan jangka panjang baharu dan menerima kapal baharu yang membantu memperkukuh kedudukan MISC untuk pertumbuhan masa depan.

 

Bagi tempoh enam bulan pertama tahun kewangan 2026, hasil kumpulan meningkat 38.8% kepada RM7.68 bilion berbanding RM5.54 bilion dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Keuntungan bersih bagi tempoh enam bulan itu meningkat kepada RM1.92 bilion daripada RM1.18 bilion, manakala keuntungan yang boleh diagihkan kepada pemegang saham meningkat 62% kepada RM1.90 bilion daripada RM1.17 bilion.

 

Aliran Tunai Dan Kontrak Baharu Kukuhkan Kedudukan

Selain keuntungan yang lebih tinggi, MISC turut mencatatkan peningkatan aliran tunai daripada aktiviti operasi sebanyak 52.5% kepada RM3.62 bilion bagi tempoh enam bulan pertama 2026 berbanding RM2.38 bilion sebelumnya.

 

Peningkatan itu disokong hasil dan keuntungan yang lebih tinggi daripada segmen Petroleum yang menjadi penyumbang utama kepada prestasi keseluruhan kumpulan.

 

t
Zahid Osman

 

Dalam usaha memastikan pertumbuhan berterusan, MISC turut memperkukuh sumber pendapatan masa depan melalui beberapa kontrak jangka panjang yang diperoleh sepanjang suku berkenaan.

 

Antaranya ialah penyerahan dan permulaan kontrak sewaan jangka panjang bagi dua kapal pengangkut gas asli cecair dengan SeaRiver Maritime LLC, selain memperoleh kontrak sewaan jangka panjang untuk kapal pengangkut karbon dioksida cecair kedua dengan Northern Lights JV DA.

 

Kumpulan itu juga akan menyediakan perkhidmatan bekalan, operasi dan penyelenggaraan jangka panjang bagi sebuah kemudahan penyimpanan dan pemprosesan gas terapung baharu untuk Petronas Gas Berhad.

 

MISC Kekal Berhati-Hati Terhadap Prospek

Selain itu, Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Berhad turut menandatangani memorandum persefahaman dengan Hanwha Power Systems Co Ltd bagi meneroka projek pembinaan kapal dan kemudahan baharu terpilih serta menyokong agenda pelepasan sifar bersih.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MISC, Datuk Zahid Osman berkata, keputusan suku kedua itu mencerminkan prestasi luar biasa kumpulan yang disokong oleh keadaan pasaran kapal tangki yang menggalakkan serta pelaksanaan operasi yang kukuh.

 

Bagaimanapun, beliau berkata, MISC kekal berhati-hati terhadap prospek bagi separuh kedua tahun 2026 walaupun kadar tambang kapal tangki ketika ini masih berada pada paras yang kukuh.

 

Menurut beliau, pasaran terus dipengaruhi oleh perubahan keadaan bekalan dan permintaan serta perkembangan geopolitik, menyebabkan kumpulan mengambil pendekatan sederhana dalam menjangkakan prestasi bagi baki tahun ini.

 

Beliau berkata, sumbangan kukuh daripada perniagaan Petroleum pada suku kedua mungkin tidak dapat dikekalkan pada paras semasa sekiranya keadaan pasaran berubah.

 

Secara keseluruhannya, MISC akan terus memberi tumpuan kepada pengukuhan perniagaan teras, mendapatkan kontrak jangka panjang, memperbaharui armada serta membina keupayaan baharu bagi memastikan pertumbuhan kumpulan kekal mampan dalam industri tenaga dan maritim yang terus berubah. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved