Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir membatalkan pelantikan semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) berkuat kuasa serta-merta.
Menurut kenyataan Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali, keputusan itu dibuat selepas kesemua EXCO berkenaan didapati memungkiri sumpah jawatan mereka.

Berdasarkan Perkara XXXVIII(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, seseorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri memegang jawatan selagi mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar.
Kesemua EXCO berkenaan sebelum ini mengangkat sumpah dan menandatangani ikrar taat setia pada 7 Ogos lalu sebelum dilantik menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Menurut kenyataan tersebut, mereka berikrar taat setia kepada Tuanku Muhriz dan Institusi Diraja selain bersumpah untuk melindungi serta memelihara kedaulatan Perlembagaan Negeri Sembilan dan mengiktiraf kuasa Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan.
Bagaimanapun, Istana Negeri Sembilan menyatakan tindakan serta kenyataan yang dibuat oleh barisan EXCO pada 15 September lalu telah memungkiri sumpah berkenaan.

Susulan itu, Tuanku Muhriz menarik balik perkenan Baginda dan membatalkan pelantikan kesemua mereka sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri berkuat kuasa serta-merta.
Setiap individu terlibat turut dimaklumkan mengenai pembatalan pelantikan tersebut menerusi warkah.
Berikutan perkembangan itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim perlu mempersembahkan senarai calon EXCO baharu untuk pertimbangan dan perkenan Tuanku Muhriz mengikut Perkara XXXVIII(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Tuanku Muhriz turut menjangkakan Menteri Besar memastikan pentadbiran Negeri Sembilan dapat diteruskan tanpa gangguan atau halangan serta kepentingan rakyat sentiasa dipelihara. – SINAR HARIAN
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.

Tunku Nadzaruddin Tak Jadi Pula Naik Takhta, DKU Tegas Tuanku Muhriz Kekal Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan
The post Ingkar Dan Derhaka, Tuanku Muhriz Batal Pelantikan Semua EXCO Negeri Sembilan Serta- Merta first appeared on Beautifulnara -Terkini dan Sensasi.






