Siri cip pemprosesan Intel Core Ultra 200V, atau dikenali sebagai Intel Lunar Lake merupakan siri cip pemprosesan untuk komputer riba kelas nipis dan ringan, tetapi dengan kemampuan pemprosesan yang bukan sahaja berkuasa, tetapi mampu bertahan lama.
Untuk pasaran di Malaysia, komputer riba dengan cip pemprosesan Lunar Lake secara lazimnya akan menggunakan cip pemprosesan Intel Core Ultra 258V, iaitu cip pemprosesan lapan teras yang dimuatkan dengan memori LPDDR5X terbina sebanyak 32GB dan juga cip pemprosesan grafik Intel Arc 140V.
Terkini, sebuah model cip pemprosesan Lunar Lake baru telah tertiris, iaitu Intel Core Ultra 7 254V yang telah diperlihatkan di beberapa laman web penanda-aras seperti PassMark, Furmark dan Vulkan. Dari segi spesifikasi, ia dilihat bahawa cip pemprosesan ini hadir dengan lapan teras fizikal yang terdiri daripada empat teras Performance dan empat teras Efficiency. sama seperti apa yang diperlihatkan pada cip pemprosesan Intel Core Ultra 258V.

Perdasarkan tangkapan layar PassMark yang diperlihatkan, skor penanda-aras untuk ujian satu teras dilihat menyerupai cip pemprosesan Core Ultra 7 258V, tetapi apabila skor multi-teras diperlihatkan, jumlah mata yang dilihat adalah jauh lebih rendah berbanding model sebelumnya, 17327 berbanding 19158.
Ini mungkin adalah kerana kelajuan asas dan Turbo Clock cip pemprosesan ini tidak setinggi cip yang sebelumnya, walaupun ia dilihat hadir dengan jumlah teras yang sama. Dalam pada itu, ia juga tidak diketahui lagi apakah penawaran memori yang akan diperlihatkan pada CPU ini.
Ia dijangka bahawa Intel Core Ultra 7 254V ini akan diperkenalkan untuk komputer riba yang lebih mampu milik, tetapi masih mahu kuasa pemprosesan yang baik.


