
Untuk beberapa tahun lalu, khususnya sejak pelancaran siri cip pemprosesan generasi ke-12 Alder Lake, Intel telah memperlihatkan penggunaan sistem teras hibrid yang menggabungkan dua jenis teras berbeza, Performance Cores dan Efficiency Cores untuk memisahkan tugas utama dan tugas latar yang perlu dilakukan oleh sebuah cip pemprosesan untuk menjadikannya lebih cekap dari segi kepantasan melakukan tugasan dan juga penggunaan kuasa.
Melalui satu penyenaraian kerja baru yang telah dilihat baru-baru ini, Intel nampaknya sedang mencari jurutera-jurutera untuk mengisi kekosongan di bahagian baharu yang dinamakan Unified Core. Mereka sedang mencari jurutera pengesahan CPU (CPU Verification Engineer) yang akan melakukan tugasan menguji kestabilan dan operasi CPU yang akan dibangunkan dibawah bahagian ini.

Bahagian Unified Core ini cukup menarik kerana setakat ini, sekurang-kurangnya semua siri CPU dari Alder Lake, Raptor Lake, Meteor Lake, Lunar Lake, Panther Lake dan Nova Lake akan datang semuanya menggunakan sistem teras hibrid yang telah memperlihatkan Intel kembali bersaing dengan syarikat-syarikat seperti Apple, AMD, NVIDIA, Qualcomm dan sebagainya.
Setakat ini, ia tidak diketahui lagi apakah tujuan Intel membuka bahagian pembangunan CPU baru ini, sama ada ia adalah untuk komponen pemprosesan pengguna, profesional ataupun pusat data. Ia juga mungkin akan mengambil masa beberapa tahun sebelum Intel akan membuat sebarang pengumuman mengenai produk yang akan diperlihatkan oleh bahagian ini.



