Beberapa minggu lalu kami telah melaporkan tentang siri cip pemprosesan baru yang akan dilancarkan oleh Intel untuk komputer riba kelas mampu milik, iaitu Intel Core Series 3 “Wildcat Lake”. Intel nampaknya telah memperkenalkan siri cip pemprosesan tersebut secara rasmi hari ini.

Didalam siri cip pemprosesan komputer riba ini, Intel memperlihatkan enam model cip pemprosesan dari siri Intel Core 7 ke Intel Core 3, termasuklah Intel Core 7 360, Intel Core 7 350, Intel Core 5 330, Intel Core 5 320, Intel Core 5 315 dan Intel Core 3 304.

Kesemua cip pemprosesan ini, kecuali model Intel Core 3 hadir dengan enam teras fizikal, dengan model Intel Core 7 360 hadir dengan kelajuan Max Turbo Frequency setinggi 4.8GHz. Kesemua cip-cip ini juga menyokong sehingga 48GB memori LPDDR5 dan hadir dengan penggunaan kuasa elektrik TDP 15-35W.

Intel juga mengatakan bahawa dari segi kegunaan harian, cip Intel Core Series 3 yang baru ini dilihat menggunakan jumlah tenaga bateri yang jauh lebih rendah berbanding dengan siri cip pemprosesan Intel Meteor Lake dari dua generasi yang lalu.
Sama seperti Intel Core Ultra 300 yang dilancarkan sebelum ini, teras yang digunakan didalam Intel Core Series 3 dibina menggunakan proses 18A Intel yang sama, menjadikannya siri cip pemprosesan komputer riba kedua Intel yang dibina sepenuhnya menggunakan proses sendiri.
Beberapa jenama komputer riba terkemuka seperti Acer, ASUS, MSI, Lenovo, Honor dan sebagainya juga telah mengesahkan bahawa mereka akan memperkenalkan komputer riba baru menggunakan cip pemprosesan ini.





