IOI Properties, CapitaLand Ltd dilaporkan hampir beli bangunan ikonik bernilai AS$1.9 bilion di Singapura - Bloomberg

21 Aug 2026 • 4:31 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

IOI Properties, CapitaLand Ltd dilaporkan hampir beli bangunan ikonik bernilai AS$1.9 bilion di Singapura - Bloomberg Image from: IOI Properties, CapitaLand Ltd dilaporkan hampir beli bangunan ikonik bernilai AS$1.9 bilion di Singapura - Bloomberg hamden21/08/2026 - 16:31 editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 21 Ogos - IOI Properties Group Bhd dilaporkan semakin hampir memuktamadkan perjanjian bersama CapitaLand Investment Ltd. untuk membeli pembangunan pejabat ikonik One Raffles Place di kawasan pusat perniagaan Singapura, dalam transaksi yang berpotensi bernilai kurang sedikit daripada S$2.4 bilion (AS$1.9 bilion).

 

Menurut laporan Bloomberg, kedua-dua syarikat itu sedang mempertimbangkan pembentukan usaha sama bagi mengambil alih kompleks berkenaan, yang terdiri daripada dua menara pejabat masing-masing setinggi 62 dan 38 tingkat serta sebuah pusat beli-belah.

 

Kedua-dua pihak dilaporkan turut meneliti kemungkinan pembangunan semula sebahagian kompleks itu, yang mempunyai ruang boleh disewa seluas 65,309 meter persegi, manakala UOB dijangka mengekalkan ruang yang kini didudukinya selepas urus niaga selesai.

 

Perkembangan itu dilihat sebagai langkah terbaharu IOI Properties dalam memperkukuh jejaknya di Singapura, selepas syarikat itu sebelum ini bersetuju membeli Asia Square Tower 2 pada harga S$2.48 bilion.

 

Transaksi itu bakal menyertai gelombang urus niaga hartanah komersial berskala besar di Singapura ketika pasaran kembali rancak, disokong kos pinjaman yang lebih rendah serta kesediaan penjual untuk lebih fleksibel terhadap harga.

 

Dalam separuh pertama 2026 sahaja, nilai transaksi hartanah komersial di republik itu mencecah sekitar AS$10 bilion, dengan lebih banyak urus niaga masih dalam perancangan.

 

Harga asal disasarkan S$2.5 bilion

One Raffles Place pada asalnya dilaporkan ditawarkan pada harga sehingga S$2.5 bilion, namun sumber yang mengetahui rundingan berkata hartanah itu kini berkemungkinan dijual pada harga sedikit di bawah S$2.4 bilion.

 

Nilai pembangunan tersebut dianggarkan sebanyak S$2.37 bilion berdasarkan penilaian terhadap kepentingan yang dikawal oleh OUE REIT pada akhir 2025.

 

OUE REIT mengawal sebuah syarikat yang memiliki 81.54% kepentingan dalam pembangunan itu, manakala United Overseas Bank (UOB) memiliki baki 18.46% dan turut menduduki sebahagian ruang di kompleks berkenaan. UOL Group dan Khattar Holdings pula mempunyai kepentingan minoriti dalam syarikat pemegang aset tersebut.

 

Sementara itu, jurucakap UOB dan CapitaLand Investment enggan mengulas mengenai perkembangan terbaharu itu, manakala IOI Properties dilaporkan belum memberikan maklum balas terhadap permintaan komen.

 

 

Sumber yang mengetahui rundingan itu berkata, pembeli turut meneroka kemungkinan pembangunan semula sebahagian kompleks berkenaan.

 

Keperluan untuk pembangunan semula dilihat antara faktor yang sebelum ini menyukarkan penjualan aset tersebut, dengan harga diminta dianggap tinggi kerana pembeli berpotensi perlu memperuntukkan modal tambahan yang besar.

 

Sebahagian besar kompleks itu dibina sejak 1980-an. Hanya satu daripada menara dan sebahagian ruang runcit mempunyai tempoh pajakan jangka panjang, manakala menara yang satu lagi serta 75% ruang runcit mempunyai tempoh pajakan yang akan tamat menjelang 2080-an. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved