amree07/10/2026 - 17:55 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 7 Okt — Tawaran awam permulaan (IPO) EGH International Berhad mendapat sambutan positif dengan saham yang ditawarkan kepada pelabur awam Malaysia terlebih langgan 2.63 kali, menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Malaysian Issuing House Sdn Bhd (MIH) berkata, sebanyak 3,101 permohonan bagi 131.33 juta saham IPO diterima daripada pelabur awam warga Malaysia berbanding hanya 50 juta saham yang diperuntukkan, mencerminkan permintaan kukuh terhadap prospek syarikat itu.
Menurut makluman kumpulan itu kepada Bursa Malaysia, pada harga IPO 16 sen sesaham, nilai permohonan yang diterima daripada pelabur awam tersebut bersamaan kira-kira RM21.01 juta, berbanding nilai saham yang ditawarkan sebanyak RM8 juta.
"Daripada jumlah tersebut, bahagian diperuntukkan kepada pelabur Bumiputera menerima 1,048 permohonan bagi 40.98 juta saham, mewakili kadar langganan 1.64 kali," kata EGH International yang akan mula didagangkan di bursa pada 16 Oktober 2026.
Sementara itu jelasnya, bahagian untuk pelabur awam Malaysia yang lain mencatat permintaan lebih tinggi apabila menerima sejumlah 2,053 permohonan bagi kira-kira 90.35 juta saham, bersamaan kadar lebihan langganan mencecah sebanyak 3.61 kali.
Selain itu tambahnya, sejumlah 30 juta saham IPO yang diperuntukkan kepada pengarah dan kakitangan yang layak dalam kumpulan serta pihak lain yang menyumbang kepada kejayaan kumpulan berkenaan turut habis dilanggan sepenuhnya.

IPO EGH International merangkumi terbitan awam sebanyak 240 juta saham baharu dan tawaran untuk penjualan sehingga 120 juta saham sedia ada, menjadikan jumlah IPO sehingga 360 juta saham pada harga ditawarkan 16 sen sesaham.
"Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 80 juta saham diperuntukkan bagi tawaran runcit, termasuk 50 juta saham kepada pelabur awam Malaysia dan 30 juta saham kepada pengarah, kakitangan serta pihak yang berkelayakan," jelasnya.
Bagi tawaran kepada institusi pula, sehingga 280 juta saham IPO ditawarkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur institusi dan terpilih, yang sudah disahkan oleh ejen penempatan sebagai ditempatkan sepenuhnya.
Sementara itu, firma Berjaya Securities Sdn Bhd dilantik EGH International untuk bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan tunggal bagi IPO tersebut.
Dalam pada itu, MIH berkata notis akan dihantar kepada semua pemohon yang berjaya selewat-lewatnya pada 15 Oktober 2026, menjelang langkah seterusnya ke arah penyenaraian EGHI di Pasaran ACE Bursa Malaysia. - DagangNews.com





