Northern Solar berpindah ke Papan Utama Bursa Malaysia selepas 20 bulan di Pasaran ACE

LocalBusiness & Finance
6 Oct 2026 • 10:00 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Northern Solar berpindah ke Papan Utama Bursa Malaysia selepas 20 bulan di Pasaran ACE Image from: Northern Solar berpindah ke Papan Utama Bursa Malaysia selepas 20 bulan di Pasaran ACE amree06/10/2026 - 10:00 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 6 Okt — Northern Solar Holdings Berhad secara rasmi berpindah daripada Pasaran ACE ke Pasaran Utama Bursa Malaysia, kira-kira 20 bulan selepas mula disenaraikan pada Februari 2025.

 

Menurut kenyataan kumpulan itu, perpindahan tersebut berkuat kuasa pada pukul 9 pagi, 6 Oktober 2026, dengan saham syarikat terus didagangkan di bawah nama ringkas NORTHERN dan kod saham 0340.

 

Perpindahan ke Papan Utama itu dibuat selepas Northern Solar menerima kelulusan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) pada 28 Ogos 2026, susulan permohonan yang dikemukakan pada 30 Mac 2026.

 

Pengarah Urusan Northern Solar, Lew Shoong Kai berkata, langkah berkenaan mencerminkan tahap seterusnya dalam perkembangan kumpulan tersebut sejak penyenaraiannya di Pasaran ACE tahun lalu.

 

"Syarikat ini terus mengukuhkan rekod operasi dan memperluas keupayaan melangkaui perniagaan teras iaitu bidang kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) solar," jelas beliau.

 

Ujarnya, bagi suku pertama berakhir 30 Jun 2026 (1QFY27), kumpulan berkenaan mencatatkan hasil RM38.2 juta, meningkat 36.1% berbanding RM28 juta pada tempoh sama tahun kewangan sebelumnya.

 

Di samping itu kata Shoong Kai, keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) Northern Solar turut meningkat kepada sebanyak RM3.97 juta daripada hanya RM3.85 juta sebelumnya.

 

Northern Solar_DagangNews2026
LEW SHOONG KAI

 

Setakat 30 Jun 2026, kumpulan memiliki buku tempahan belum dibil RM189.3 juta, manakala nilai buku tender mencecah RM2.23 bilion, memberikan keterlihatan projek bagi segmen perniagaan utamanya.

 

Kumpulan berkenaan jelasnya, turut memperluas perniagaan ke segmen solar berskala besar (LSS) selepas memperoleh kontrak yang berkaitan program LSS5 bernilai RM119.38 juta pada Mac 2026.

 

Projek itu kini dalam pelaksanaan dengan pengiktirafan hasil dijangka merangkumi FY27 dan FY28. Syarikat itu bukan sahaja terlibat dalam perniagaan solar komersial dan industri (C&I) serta kediaman. 

 

"Kami juga membangunkan keupayaan dalam sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) selari peningkatan permintaan terhadap rumusan solar bersepadu dan penyimpanan tenaga di Malaysia," tambah beliau.

 

Dari segi kedudukan kewangan, ia mempunyai tunai dan baki bank RM44.5 juta serta jumlah ekuiti RM87.3 juta setakat 30 Jun 2026, menunjukkan situasi sihat bagi menyokong perkembangan perniagaan.

 

Melangkah ke hadapan, Northern Solar akan terus memberi tumpuan kontrak EPCC baharu, melaksanakan buku tempahan sedia ada, serta memperluaskan portfolio aset tenaga boleh diperbaharui (RE).

 

Ia juga meneroka peluang daripada peralihan tenaga Malaysia, dengan status Papan Utama dijangka meningkatkan profil korporat dan keterlihatan kumpulan dalam pasaran modal tempatan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved