sarah08/10/2026 - 14:28 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 8 Okt -- MyDCD Bhd (MyDCD) bakal memperkukuh kedudukannya dalam industri pusat data Malaysia menerusi penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada suku keempat, selepas memeterai perjanjian taja jamin dengan TA Securities Holdings Bhd (TA Securities).
Sebagai sebahagian daripada IPO, MyDCD akan menerbitkan 335 juta saham baharu dan menawarkan 145 juta saham sedia ada melalui tawaran untuk jualan (OFS). TA Securities akan menaja jamin 89.7 juta saham baharu yang ditawarkan kepada orang awam Malaysia melalui undian.
Ketua Pegawai Eksekutif MyDCD, Chris Ow Yong berkata, pengalaman kira-kira 15 tahun dalam industri MEPF pusat data meletakkan syarikat pada kedudukan untuk memanfaatkan pertumbuhan Malaysia sebagai hab pusat data serantau.
Beliau berkata, pasaran pusat data Malaysia dijangka berkembang daripada AS$4.04 bilion (RM16.25 bilion) pada 2024 kepada AS$13.57 bilion (RM55.45 bilion) menjelang 2030, disokong daya saing kos, utiliti yang boleh dipercayai dan sokongan dasar kerajaan.
“Hasil IPO akan memberi kami sumber untuk memperkukuh keupayaan projek dan kejuruteraan, mengembangkan tenaga kerja serta meningkatkan infrastruktur operasi,” katanya.
MyDCD menerusi anak syarikatnya, DCD Technology Sdn Bhd, menyediakan perkhidmatan integrasi sistem dan subsistem MEPF untuk infrastruktur kritikal, termasuk sokongan kejuruteraan, pembekalan dan pemasangan, pengujian serta pentauliahan, selain penyelenggaraan pembetulan dan pencegahan.
Syarikat itu mempunyai rekod menyiapkan projek integrasi MEPF untuk pusat data dengan nilai keseluruhan RM549.30 juta bagi FY2023 hingga FY2025, manakala hasil FY2025 berjumlah RM371.98 juta, bersamaan kira-kira 4% daripada pasaran MEPF Malaysia.
Dengan pengalaman dalam pusat data perusahaan, kolokasi dan hiperskala, MyDCD mempunyai keupayaan teknikal merangkumi persekitaran pusat data Tier I hingga Tier IV, selain kerjasama dengan penyedia teknologi dan peralatan seperti Huawei, Riello UPS dan Vertiv.
Hasil IPO akan digunakan terutamanya bagi keperluan modal kerja dan pengembangan operasi termasuk pengambilan kakitangan tambahan, penyewaan ruang pejabat baharu serta latihan, selain penambahbaikan sistem teknologi maklumat dan perbelanjaan penyenaraian.
Sementara itu, Ketua Kewangan Korporat TA Securities, Ku Mun Fong berkata, rekod prestasi dan kepakaran MyDCD dalam integrasi MEPF pusat data meletakkan syarikat pada kedudukan baik untuk mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan infrastruktur pusat data di Malaysia. TA Securities bertindak sebagai Penasihat Utama, Penaja, Pengunderait dan Ejen Penempatan bagi IPO tersebut.- DagangNews.com






