johardy11/08/2026 - 08:59 Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 11 Ogos - Tawaran awam permulaan (IPO) penyedia perkhidmatan medan minyak huluan, United Asiapac Energy Berhad terlebih langgan sebanyak 21.02 kali bagi bahagian yang ditawarkan kepada orang awam Malaysia, menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Sebanyak 8,800 permohonan bagi 605.44 juta saham bernilai RM211.9 juta diterima untuk 27.5 juta saham yang diperuntukkan kepada orang awam Malaysia, menurut Tricor Investor & Issuing House Services Sdn Bhd pada Isnin.
Bahagian Bumiputera terlebih langgan sebanyak 27.55 kali selepas menerima 5,277 permohonan bagi 392.55 juta saham. Baki bahagian untuk orang awam pula menerima 3,523 permohonan bagi 212.89 juta saham, bersamaan kadar terlebih langgan sebanyak 14.48 kali.
Sementara itu, 10 juta saham yang diperuntukkan kepada pengarah dan pekerja yang layak serta individu yang menyumbang kepada kejayaan kumpulan turut dilanggan sepenuhnya.
Ejen penempatan turut mengesahkan kesemua 101.72 juta saham yang ditawarkan menerusi penempatan persendirian kepada pelabur terpilih telah dilanggan sepenuhnya.
Notis peruntukan saham akan dihantar kepada semua pemohon yang berjaya pada 17 Ogos 2026.
IPO raih RM48.73 juta untuk pengembangan
IPO yang ditawarkan pada harga 35 sen sesaham itu melibatkan terbitan awam sebanyak 139.22 juta saham biasa baharu bagi membolehkan syarikat mengumpul RM48.73 juta untuk tujuan pengembangan.
Tiada komponen tawaran untuk jualan, bermakna tiada hasil IPO akan disalurkan kepada pemegang saham sedia ada menerusi pelupusan pegangan mereka dalam syarikat.
Pada harga IPO itu, United Asiapac dijangka mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM192.5 juta apabila disenaraikan dan dinilai pada hampir 28 kali pendapatan 12 bulan terdahulu.
Syarikat itu mengkhusus dalam perkhidmatan `fishing' iaitu mendapatkan semula peralatan yang tersangkut di dalam telaga, untuk industri minyak huluan Malaysia. Ia turut menyediakan perkhidmatan penutupan dan pengabaian telaga, penggerudian lencongan serta perkhidmatan sokongan huluan lain. Operasinya tertumpu terutamanya di Kemaman, Terengganu dan Labuan.
United Asiapac dijadualkan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 19 Ogos ini.
TA Securities Holdings Bhd berperanan sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi IPO berkenaan. - DagangNews.com






