Irene Sofiya mahu jadi doktor pakar, seperti arwah ibunya – ibu saudara

LocalHealth & Fitness
4 Oct 2026 • 2:55 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Irene Sofiya mahu jadi doktor pakar, seperti arwah ibunya – ibu saudara

BATU PAHAT: Allahyarham Irene Sofiya Mohd. Khairool Faisal, 16, berhasrat untuk menjadi seorang doktor pakar kesihatan awam apabila dewasa kelak, sama seperti arwah ibunya yang telah meninggal dunia akibat kanser hati.

Ibu saudaranya, Siti Nur Faeza Khyar, 45, berkata, hasrat itu pernah disuarakan arwah kepadanya ketika meminta bantuan untuk mengulang kaji subjek biologi di sekolah.

“Saya juga seorang guru, saya mengajar subjek biologi di sebuah sekolah di Kota Tinggi. Beberapa hari sebelum kejadian arwah meminta saya datang ke rumah keluarga di sini untuk membantunya mengulang kaji subjek biologi.

“Sebelum ini dia pernah bertanya kepada saya, apakah kerjaya yang sesuai dan saya cadangkan kepadanya sama ada menjadi doktor pakar sakit puan atau doktor pakar kesihatan awam.

“Kemudian arwah kata dia memilih untuk menjadi doktor pakar kesihatan awam, sama seperti kerjaya ibunya yang telah meninggal dunia ketika arwah berusia sembilan tahun,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Parit Selamat, Yong Peng, di sini hari ini.

Tambah Siti Nur Faeza, arwah Irene Sofiya merupakan seorang remaja yang baik dan tidak bermasalah khususnya dalam pembelajaran di sekolah.

“Arwah seorang budak yang baik, sangat pendiam dan senang dijaga. Kalau cakap soal pelajaran, dia akan uruskan semuanya sendiri, ulangkaji sendiri tanpa perlu disuruh. Dia memang tidak akan susahkan orang.

“Ketika peperiksaan, dia akan mendapat sama ada nombor pertama atau nombor kedua dalam tingkatannya. Dia juga berpotensi mendapat keputusan 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun depan,” katanya.

Siti Nur Faeza turut memberitahu, ibu arwah pernah berkhidmat di Hospital Serdang, manakala bapanya pula bekerja sebagai seorang jurutera di Bangi.

Sementara itu, mengulas tentang kejadian, Siti Nur Faeza berkata, dia tidak menyangka kejadian kejam seperti itu boleh berlaku terhadap anak saudaranya yang dianggap sebagai individu harapan keluarga.

“Dia dijumpai dengan keadaan berlumuran darah, tindakan pelaku sangat kejam. Saya dan keluarga berharap pihak berkuasa akan jalankan siasatan dan hukum pelaku dengan hukuman yang setimpal perbuatannya,” katanya.-UTUSAN

The post Irene Sofiya mahu jadi doktor pakar, seperti arwah ibunya – ibu saudara appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved