SHAH ALAM - Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek menggesa agar semua perkara yang berada di bawah tanggungjawab Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diperiksa secara menyeluruh tanpa cubaan untuk menyembunyikan apa-apa.
Beliau berkata, ia termasuk rekod kehadiran murid ketika kelas tambahan dan aspek kawalan keselamatan serta rondaan di sekolah.
Tegasnya lagi, syarikat kawalan keselamatan turut diminta memberikan kerjasama bagi melengkapkan semakan tersebut.
"Jika terdapat kecuaian atau tanggungjawab yang tidak dilaksanakan sebagaimana sepatutnya, tindakan tegas akan diambil.
"KPM bakal memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan tidak akan mendahului siasatan pihak polis.
"Sokongan kaunseling juga sedang diberikan kepada murid dan warga sekolah yang terkesan.
"Berikan keluarga ruang dan hormati proses siasatan. Kita mahu kebenaran diperoleh berdasarkan fakta dan bukan spekulasi," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
ARTIKEL BERKAITAN:Pelajar ditemui maut di sekolah disyaki dibunuh
Pelajar maut di sekolah: Nenek lihat Fiya terkulai, berlumuran darah dalam dewan sekolah
Pelajar maut di sekolah: 'Fiya nak jadi doktor macam arwah ibu' - Ibu saudara
Pelajar maut di sekolah: Tiada kompromi terhadap buli, jenayah di sekolah - Exco
Pelajar maut dibunuh: 'Irene Sofia pelajar cemerlang, harapan 9A di sekolah' - Rakan
Pelajar maut dibunuh: 3 pelajar lelaki ditahan, seorang direman pagi ini
Irene Sofiya maut dibunuh: Pelajar lelaki direman enam hari
Irene Sofiya maut dibunuh: Polis rampas telefon bimbit, pakaian suspek
Seorang pelajar Tingkatan Empat, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal ditemui maut dipercayai dibunuh di sebuah sekolah menengah di Yong Peng, Johor pada Sabtu.
Remaja berusia 16 tahun itu ditemui sudah tidak bernyawa dalam dewan di sekolah terbabit pada sebelah petang.
Mangsa yang dipercayai tinggal bersama neneknya dilapor datang ke sekolah pada sebelah petang untuk menghadiri kelas tambahan.
Berita kehilangan Irene Sofiya disedari neneknya selepas rakan bertanyakan sama ada mangsa berada di rumah atau tidak pada tengah hari.
Fadhlina turut memaklumkan, pihaknya sudah berada di Yong Peng untuk mendapatkan sendiri perkembangan berhubung kejadian yang meragut nyawa Irene Sofiya.
Beliau menambah, taklimat daripada PDRM, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batu Pahat dan pihak sekolah mengenai kronologi kejadian sudah diterima termasuk tindakan yang sedang dijalankan.
"Saya turut bertemu keluarga mangsa di Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat. Dalam saat begini, tiada siapa yang merasakan kehilangan ini lebih dalam daripada keluarga. Seorang anak telah pergi dan keluarganya berhak mendapat jawapan.
"Berdasarkan maklumat PDRM, mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan sekolah dan kemudiannya disahkan meninggal dunia.
"Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun telah ditahan dan direman selama enam hari bagi membantu siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan motif serta punca kejadian masih dalam siasatan," ujarnya.






