KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, atas satu pertuduhan tidak mengisytiharkan harta iaitu wang tunai RM14.7 juta, jutaan mata wang asing serta lima jongkong emas, tahun lepas.
Pemimpin UMNO berusia 66 tahun itu membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Suzana Hussin.
"Saya faham, mengaku tidak bersalah, mohon dibicarakan," katanya yang memakai kot berwarna hitam ketika berdiri dalam kandang tertuduh.
Ismail Sabri kelihatan tenang sambil disaksikan isteri, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin, tiga anak mereka termasuk penyanyi Dafi bersama penyokong-penyokongnya.
Mengikut pertuduhan, Ismail Sabri didakwa sengaja memberikan pernyataan bertulis yang tidak mematuhi terma notis di bawah Seksyen 36(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 bertarikh 7 Januari 2025.
Notis berkenaan telah dihantar kepadanya oleh seorang pegawai SPRM pada 10 Januari 2025, iaitu dengan tidak mengisytiharkan harta di Ibu Pejabat SPRM, Presint 7, Putrajaya pada 7 Februari 2025.
Harta itu melibatkan wang tunai RM14,772,150, SG$6.1 juta, AS$1.46 juta, CHF3 juta, €12.16 juta, ¥363 juta, £50,250, NZ$44,600, Dirham Emiriah Arab Bersatu AED34.7 juta dan AU$352,850.
Ia termasuk lima jongkong emas Petak Suisse Fine Gold seberat satu kilogram setiap satu, selain satu jongkong perak Petak Suisse Fine Silver seberat 100 gram dan satu syiling emas 999 Fine Gold (lima gram).
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda maksimum RM100,000.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Ezlin Yusop Khan, Ifa Sirrhu Samsudin dan Nurul Qistini Qamarul Abrar.
Ismail Sabri pula diwakili peguam, Datuk Amer Hamzah Arshad, Datuk Seri Rajan Navaratnam, Ragunath Kesavan, Joshua Tay, Tan Xu Yin, Jason Anthony dan Ashwath Ramakrishnan.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Suzana membenarkan Ismail Sabri diikat jamin sebanyak RM300,000 dengan seorang penjamin terdiri daripada ahli keluarga.
Bagaimanapun beliau tidak membenarkan permohonan pendakwaan supaya pasportnya diserahkan kepada mahkamah.
“Selepas meneliti hujahan kedua-dua pihak, mahkamah mendapati tiada bukti diberi kepada mahkamah, yang menunjukkan tertuduh berisiko untuk melarikan diri,” katanya sebelum menetapkan sebutan semula kes pada 29 September depan.
Turut hadir dalam prosiding tersebut ialah bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas Menteri Besar Pahang, Tan Sri Adnan Yaakob.
Sebelum ini, Ismail Sabri telah dipanggil beberapa kali bagi merakamkan percakapan berhubung pengisytiharan harta yang dibuat kepada SPRM.
Dalam siasatan berkenaan, SPRM turut merampas wang tunai berjumlah RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing selain menyita 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai RM7 juta.
Rampasan itu dilakukan ketika penggeledahan di kediaman dan pejabat yang dipercayai dijadikan ‘rumah selamat’, susulan siasatan terhadap empat pegawai kanan Ismail Sabri yang ditahan pada Februari 2025.






