Cuaca kering panjang ancam pengeluaran kelapa sawit Sarawak Plantation pada 2027 - Phillip Capital

Business & Finance
11 Sep 2026 • 9:20 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Cuaca kering panjang ancam pengeluaran kelapa sawit Sarawak Plantation pada 2027 - Phillip Capital Image from: Cuaca kering panjang ancam pengeluaran kelapa sawit Sarawak Plantation pada 2027 - Phillip Capital amree11/09/2026 - 09:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 11 Sept — Ancaman cuaca kering yang berlarutan dilihat berisiko menjejaskan sasaran pengeluaran kelapa sawit Sarawak Plantation Berhad sebanyak 500,000 tan metrik (MT) pada 2027.

 

Menurut analisis Phillip Capital, faktor keadaan kering berpanjangan dikhuatiri memperlahankan proses pematangan tandan buah segar (FFB) dan boleh meningkatkan tahap tekanan air ke atas pokok.

 

Firma itu berkata, meskipun sasaran 2027 masih dikekalkan buat masa ini, pihak pengurusan syarikat dijangka menilai semula selepas kesan musim kering menjadi lebih jelas dalam tempoh dua bulan.

 

"Risiko ini akan lebih ketara memandangkan kira-kira 64% kawasan tanaman Sarawak Plantation berada di tanah mineral yang mengehadkan keupayaan kumpulan menangani tekanan air berpanjangan," katanya.

 

Bagi 2026 ujar Phillip Capital, kumpulan mengekalkan unjuran pengeluaran FFB sekitar 410,000 MT, dengan pemulihan terus disokong kawasan tanaman yang semakin matang, serta momentum penuaian.

 

Kira-kira 2,000 hektar kawasan tambahan mencapai kematangan dengan mengeluarkan hasil dari 2025 hingga 2026, manakala 1,000 hektar lagi dijangka matang pada 2027, sekali gus menyokong struktur.

 

Tahap pengeluaran turut dilihat kukuh dengan pengeluaran FFB milik sendiri Sarawak Plantation meningkat 20.3% suku ke suku dan 12.6% tahun ke tahun kepada 95,100 tan pada suku kedua 2026.

 

Sarawak Plantation_DagangNews2026

 

"Hasil kawasan boleh dituai naik kepada 4.57 tan sehektar berbanding 3.80 tan sehektar pada suku pertama 2026, manakala bagi tempoh 6M26, pengeluaran FFB meningkat kepada 174,200 MT," katanya.

 

Tambah Phillip Capital, pengeluaran pada Julai 2026 pula hampir mencecah 32,000 MT, sementara bulan berikutnya diunjurkan meningkat kira-kira 15% bulan ke bulan (MoM) kepada 37,000 MT.

 

Pemulihan pengeluaran, harga minyak sawit mentah (MSM) yang lebih kukuh dan peningkatan kecekapan operasi dijangka menyokong prestasi kewangan Sarawak Plantation pada separuh kedua tahun ini.

 

Kumpulan perladangan itu mencatat keuntungan bersih teras RM31 juta pada suku kedua 2026, naik 99.8% suku ke suku dan 73.6% tahun ke tahun, manakala hasil meningkat 40% kepada RM147 juta.

 

"Kos pengeluaran MSM 2026 dikekalkan RM2,600 setiap MT, dengan kos baja menjadi antara tekanan utama namun 60% diperoleh pada separuh pertama tahun ini pada harga rendah," kata Phillip Capital.

 

Susulan prospek kos lebih baik, ia menaikkan anggaran pendapatan sesaham (EPS) Sarawak Plantation bagi 2026 hingga 2028 sebanyak 23% dan harga sasaran (TP) kepada RM4.75 berbanding hanya RM3.87.

 

Bagaimanapun ia mengekalkan saranan 'pegang' kerana profil risiko masih seimbang, termasuk turun naik pengeluaran akibat situasi cuaca, perubahan harga dan peningkatan kos baja. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved