
KUALA LUMPUR – UMNO Negeri Sembilan tidak mahu kemelut berkaitan adat terus menjadi ‘duri dalam daging’ sehingga menjejaskan momentum Barisan Nasional (BN) untuk memburu kemenangan lebih besar pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan, Datuk Bibi Sharliza Mohd Khalid berkata, isu berkenaan perlu diselesaikan segera memandangkan rakyat sudah memberikan kepercayaan kepada UMNO dan BN untuk kembali menerajui negeri itu.
Menurutnya, kegagalan mencari penyelesaian dikhuatiri membuka ruang isu sama dibangkitkan semula ketika PRU, sedangkan tumpuan parti kini adalah meneruskan momentum sokongan pengundi.
“Kita tak nak pengundi kita merasakan bahawa apa yang kita buat ini tidak menjurus kepada apa yang mereka nak.
“Kita pun nak PRU, jadi kita tak nak Parlimen kita ada efek atas isu-isu macam ini kerana isu ini, bagi saya, orang Negeri Sembilan pandang berat,” katanya ketika ditemui pemberita sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.
Sharliza berkata, penyelesaian perlu dilakukan dengan segera oleh pihak berkaitan dan tidak wajar mengambil masa terlalu lama sehingga mencetuskan persoalan dalam kalangan rakyat.
“Apabila ada sesuatu perkara yang berlaku, kita harus selesaikan dengan segera. Maksud saya, Yang Amat Berhormat Menteri Besar kena melakukannya dengan segera. You cannot take a sweet time.
“Saya harap Yang Amat Berhormat Menteri Besar bersama dengan pimpinan dapat menyelesaikannya dengan segera,” katanya.
Menurut beliau, Negeri Sembilan mempunyai keunikan tersendiri kerana berpegang kepada Adat Perpatih selain mempunyai Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri yang berbeza berbanding negeri lain.
Justeru, katanya, perkara melibatkan adat perlu diselesaikan menerusi saluran dan institusi adat berkaitan, manakala kerajaan bertanggungjawab dalam aspek pentadbiran.
“Sebagai kerajaan, kita hanya sebagai pentadbir untuk menyelesaikan pentadbiran adat, bukan menyelesaikan masalah adat.
“Adat Negeri Sembilan ini ada penghulu, ada ibu soko dan semua rangkaian yang perlu kita selesaikan, kemudian kerajaan hanya bertanggungjawab sebagai pentadbir,” katanya.
Beliau turut berpandangan kemelut tersebut perlu ditangani bersama pihak berkaitan termasuk Undang Yang Empat, Tengku Besar Tampin serta institusi diraja Negeri Sembilan.
Dalam masa sama, Sharliza menegaskan fokus UMNO bukan untuk merebut jawatan Menteri Besar, sebaliknya memastikan parti mampu mempertahankan mandat dan meneruskan kemenangan pada pilihan raya akan datang.
“Fokus kita untuk menang pilihan raya. Fokus kita bukan untuk menjadi Yang Amat Berhormat Menteri Besar,” katanya.
Menurutnya, beliau juga tidak melihat terdapat campur tangan daripada kepimpinan tertinggi UMNO dalam isu berkenaan kerana keutamaan parti adalah memperkukuhkan kedudukan di Negeri Sembilan.
Sharliza berkata, sokongan pengundi Melayu kepada UMNO dan BN perlu dijaga dengan memastikan perkara yang menjadi perhatian rakyat ditangani secara berkesan.
“Kalau dua masalah ini dapat diselesaikan dengan baik, saya jangka sekiranya berlaku PRU, Parlimen kita tidak akan mengalami masalah untuk kita mendapat gelombang biru di Negeri Sembilan pula.
“Kita harap dengan gelombang yang ada, kita boleh menang semua kerusi di Negeri Sembilan ini,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata kepercayaan ahli terhadap UMNO dilihat semakin meningkat sejak 2023 dan perkembangan itu perlu diterjemahkan kepada momentum berterusan menghadapi pilihan raya seterusnya.
Beliau turut menegaskan UMNO masih berpegang teguh kepada Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, manakala bentuk kerjasama bagi menghadapi pilihan raya di peringkat negeri tertakluk kepada pertimbangan negeri masing-masing.
The post Isu adat jangan jadi beban, selesai segera… Jangan tunggu sampai PRU – Bibi Sharliza appeared first on MYBERITA.






