
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Tidak dinafikan, pada zaman ini, wang ringgit merupakan antara masalah yang dihadapi sesetengah pasangan yang ingin berkahwin.
Bukan hanya mas kahwin dan duit hantaran, kos untuk mengadakan majlis persandingan juga harus difikirkan oleh mereka.
Maka tidak hairanlah jika ada pasangan terutamanya lelaki yang melakukan kerja sambilan untuk mencari duit tambahan bagi menampung kos majlis yang bakal diadakan nanti.
Namun, pengantin lelaki pasti akan lebih terbeban sekiranya perlu menanggung majlis sanding yang ingin diadakan keluarga belah wanita.
Jangan normalisasi lelaki perlu kerja keras tanggung kos majlis sanding belah perempuan
Susulan itu, seorang influencer yang dikenali sebagai Zarul Hafiz tampil menasihati orang ramai agar tidak terlalu meletakkan bebanan kepada pengantin lelaki.
Menerusi satu hantaran video yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya, Zarul berkata, hal ini kerana pihak lelaki harus menanggung kos dipihaknya juga.
“Korang tolong berhenti normalisasikan yang pengantin lelaki kena kerja keras berhabisan duit untuk tanggung majlis perkahwinan belah pengantin perempuan,” katanya.
Majlis perkahwinan hanya disunatkan dibuat belah pihak lelaki
Menurutnya, dalam Islam, majlis perkahwinan yang disunatkan adalah bagi pihak keluarga pengantin lelaki sahaja.
Jelasnya, tidak menjadi masalah jika keluarga pengantin perempuan juga ingin membuat majlis bagi pihak mereka, namun itu adalah tanggungjawab ibu bapa wanita terbabit.
“Kalau kita nak buat majlis, buat lah ikut kemampuan diri kita, bukan buat mewah-mewah tapi guna duit menantu (pengantin lelaki) kita melainkan menantu kita sudah sedia maklum bahawa duit hantaran itu akan digunakan untuk kenduri belah perempuan,” katanya lagi.
Ujar Zarul lagi, ibu bapa pengantin perempuan juga seharusnya mengambil tahu sekiranya bakal menantunya itu membuat lebih daripada satu kerja untuk menampung kos majlis perkahwinan yang akan diadakan nanti.
Zarul turut berkongsi pendapatnya bahawa duit hantaran yang diberikan adalah hadiah untuk pengantin perempuan dan bukannya untuk digunakan oleh keluarga wanita itu.
@zarul.hafiz Jika ada pendapat korang boleh lontarkan juga😊 #fyp #TikTokGuru ♬ Heart touching sad piano – Yuda Pratama
Jadikan wang hantaran sebagai mas kahwin, simpan untuk kegunaan masa hadapan
Sebelum ini, penceramah bebas, Ustaz Amran Yusoff pernah menasihati wanita yang ingin berkahwin agar menjadikan wang hantaran sebagai mas kahwin tanpa perlu menggunakannya untuk mengadakan majlis keramaian.
Ustaz Amran berkata hukum mengadakan kenduri pernikahan adalah sunat di rumah keluarga pihak pengantin lelaki.
Malah beliau menasihati agar pengantin wanita menyimpan mas kahwin terbabit untuk kegunaan masa akan datang kerana wang tersebut adalah hak mereka.
Baca Artikel Berkaitan: Wang Hantaran Patut Jadikan Mas Kahwin, Simpan & Jangan Guna Untuk Kenduri – Ustaz Amran Yusoff [Video]
Netizen beri pelbagai reaksi, ramai yang setuju dengan pendapat Zarul
Nasihat serta pandangan yang diberikan oleh Zarul itu mendapat pelbagai reaksi oleh pengguna media sosial.
Di ruangan komen, kebanyakan pengguna TikTok bersetuju dengan pendapat Zarul bahawa pengantin lelaki tidak seharusnya dibebani memandangkan mereka mempunyai tanggungjawab yang lebih besar di masa hadapan
Pun begitu, tidak kurang juga yang menyatakan bahawa sesetengah keluarga pihak perempuan hanya mengikut adat turun-temurun dan bukannya ingin membebankan pengantin lelaki.
“Post lah dekat FB, mak aku main FB bukan main TikTok”

“Setuju pendapat abang Zarul”

“Sebenarnya mak bapa minta sebab nak tengok effort bakal menantu”



![“Power Dia Borak” – Lelaki Dari Amerika Dipuji Tak Kekok Berbahasa Melayu [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/travel.jpeg)