Pengasas Bersama Ben & Jerry’s Ditahan Di Dewan Senat AS Selepas Kecam Bantuan Ketenteraan Kepada Israel

WorldPolitics
15 May 2025 • 6:04 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Keadaan buruk di tanah suci Palestin seolah-olah tiada henti, malah menjadi lebih buruk apabila Israel telah menahan bantuan kemanusiaan yang dihantar, menjadikan ketiadaan bekalan makanan di wilayah itu selama lebih dua bulan.

Angka kematian terkini seperti yang dilaporkan oleh media antarabangsa Al Jazeera adalah seramai 51,000 penduduk Gaza sejak tanah suci itu diserang oleh Israel bagi membalas serangan Hamas pada 7 Oktober 2023.

Sebagai maklum balas kepada pembantaian rakyat Palestin itu, masyarakat global yang tidak bersetuju dengan tindakan itu mengecam rejim Zionis menerusi demonstrasi, bantahan dan sebagainya.

Pengasas Bersama Ben & Jerry’s Bantah Bantuan Ketenteraan AS Kepada Israel

Terbaharu, pengasas bersama Ben & Jerry’s, Ben Cohen telah dipaksa keluar dari pendengaran Senat Amerika Syarikat (AS) kerana membantah secara vokal bantuan ketenteraan yang dihantar oleh republik itu ke Israel.

Protes oleh Cohen semalam (14 Mei) dilakukan ketika testimoni oleh Setiausaha Kesihatan Robert F. Kennedy Jr berkenaan anggaran bajet kesihatan yang dicadangkan oleh pentadbiran Trump.

Aktivis itu mengutuk pembuat dasar yang mengutamakan bantuan ketenteraan untuk Israel berbanding program domestik penting seperti Medicaid.

Untuk info, Medicaid merupakan program terbesar yang menyediakan servis perubatan dan kesihatan bagi individu berpendapatan rendah.

“Kongres membeli bom untuk membunuh kanak-kanak di Gaza dan membayarnya dengan mengecualikan kanak-kanak dari Medicaid di AS,” katanya.

Cohen berkata dia menyuarakan keresahan “berjuta rakyat Amerika yang marah dengan pembunuhan di Gaza” dan mengutuk kelulusan “$20 bilion untuk bom” bagi Israel dalam mada servis sosial di AS semakin dipotong.

Ben Cohen & 6 Individu Lain Ditahan

Selain Cohen, enam individu lain telah ditahan kerana mengganggu pendengaran Senat AS dengan melakukan bantahan ke atas sokongan Washington terhadap peperangan Israel di Gaza.

Polis Capitol AS menerusi satu kenyataan memaklumkan kesemua mereka ditahan atas tuduhan “berkerumun, menghalang atau mengganggu”, menyerang seorang anggota polis atau menentang penahanan.

Sehubungan itu, polis berkata Cohen hanya dikenakan tuduhan berkerumun, menghalang atau mengganggu, kesalahan kecil yang boleh dikenakan penjara 90 hari atau denda $500 (RM2,142) atau kedua-duanya sekali.

Pengasas Bersama Ben & Jerry’s Sering Kecam Peperangan Israel Di Gaza

Ben & Jerry’s bukan sekadar jenama aiskrim yang digemari di seluruh pelusuk dunia, tetapi Cohen dan pengasas bersama Jerry Greenfield amat dikenali di atas usaha aktivisme progresif mereka.

Ini termasuklah menentang tindakan Israel ke atas Gaza dan Tebing Barat di tanah suci Palestin.

Dalam satu wawancara bersama Fox News baru-baru ini, Cohen berkata AS mempunyai hubungan yang pelik dengan Israel yang membabitkan Washington “membekalkan senjata bagi genosidnya”.

“Sekarang, apa makna menjadi seorang Amerika adalah kita pengeksport senjata terbesar di dunia. Kita mempunyai ketenteraan terbesar di dunia dan menyokong pembunuhan rakyat Gaza,” katanya yang merupakan seorang Yahudi.

image is not available
Serangan udara di kem Al-Bureij pada 6 Mei. (Sumber: X @QudsNen)

Malah pada tahun 2021, Ben & Jerry’s mengumumkan bahawa pemegang lesen Israel tidak lagi dibenarkan untuk menjual produknya di Tebing Barat dan Gaza kerana ia “tidak konsisten dengan nilai kami”.

Pun begitu, seorang hakim AS telah menolak permohonan injuksi tersebut dengan alasan Ben & Jerry’s gagal menunjukkan bahawa ia akan mengalami kerosakan teruk jika penjualan itu dibenarkan.

Ben & Jerry’s Aktif Dalam Menjalankan Misi Sosial

Ben & Jerry’s telah diasaskan oleh kedua-dua rakan itu pada tahun 1978 di Vermont, AS. Kemudian pada tahun 2000, syarikat aiskrim itu telah dibeli oleh Unilever pada harga $326 juta (RM1.4 bilion) dengan Ben & Jerry’s menetapkan bahawa ia akan mempunyai lembaga yang bebas.

Perkara ini membolehkan syarikat tersebut terus menegakkan pendiriannya yang progresif dalam isu sosial dan politik.

image is not available
Jenama aiskrim Ben & Jerry’s terkenal di seluruh dunia. (Sumber: IG @benandjerrys)

Malah, Ben & Jerry’s sendiri telah memfailkan saman terhadap syarikat induknya beberapa kali.

Pada tahun 2022, mereka menyaman Unilever kerana menjual perniagaan di Israel dan Tebing Barat kepada lesen tempatan yang dikatakan melanggar ikrar untuk menghentikan penjualan produk di wilayah itu pada 2021 sebagai sokongan terhadap Palestin.

Pada Mac tahun ini pula, satu lagi saman difailkan terhadap Unilever yang dituduh memecat Ketua Eksekutif David Stever kerana menyokong ‘misi sosial’ syarikat berkenaan.

Untuk info, misi sosial Ben & Jerry’s adalah untuk menjalankan syarikat dengan cara yang secara aktifnya mengenal pasti peranan utama yang dimainkan oleh perniagaan dalam masyarakat.

image is not available
Sumber: Ben & Jerry’s

Ini dilakukan dengan mula mengambil langkah-langkah inovatif bagi meningkatkan kualiti kehidupan di peringkatan tempatan, nasional dan antarabangsa.

“Kami komited bagi mencapai kesaksamaan, peluang, dan keadilan untuk komuniti di seluruh dunia yang telah sekian lama terpinggir, menyedari perkara ini terikat dengan kehidupan yang adil yang membolehkan individu, keluarga dan komuniti untuk berkembang maju,” katanya menerusi laman web.

Source: