
PETALING JAYA: Penyanyi dan komposer, Aina Abdul mengakui terkilan dengan sikap rakan artis yang didakwa membuat hantaran negatif mengaitkan dirinya ketika persembahan Anugerah Juara Lagu 40 (AJL40), baru-baru ini.
Aina atau nama sebenarnya, Nurul Aina Abdul Ghani, 32, bagaimanapun memilih untuk tidak mengambil pusing perkara tersebut sebaliknya mahu terus fokus menghasilkan karya.
“Ya, saya nampak hantaran itu. Benda-benda seperti itu sempat saya baca, tetapi bagi saya, kenapa kita mahu hidup dalam masyarakat yang saling membenci? Kita sepatutnya meraikan sesama artis.
“Kita tahu kesusahan masing-masing. Kita tahu menjadi anak seni ini bukan ada hari yang indah sahaja. Kita tahu kesusahan masing-masing.
“Kalau kesusahan datang daripada penonton, mereka tidak tahu tentang kehidupan kita. Tetapi jika datang daripada rakan-rakan artis, kadang-kadang saya tertanya-tanya, kenapa? Kenapa kita perlu jadi begitu negatif?” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Sumpah itu tidak mahu kenyataannya disalah tafsir, sebaliknya percaya karya seni yang dihasilkan mempunyai peminat tersendiri.
“Tetapi saya tidak menjuruskan kata-kata ini kepada sesiapa. Saya harap mereka gembira dengan apa yang mereka lakukan.
“Saya di sini akan teruskan kerja saya dan terus berfikiran positif. Saya tahu benda yang saya buat ini mungkin bukan untuk mereka, tetapi untuk peminat saya yang menghargai seni saya.
“Seperti kata Abang Noh Salleh, seni kami untuk kami,” katanya.
Bagaimanapun, Aina berkata, asam garam sebagai anak seni membolehkannya mengenal pasti siapa yang benar-benar layak dipanggil rakan.
“Itulah kehidupan, kita tidak akan tahu siapa rakan kita. Saya harap semua yang membaca kisah ini dapat mengambil sedikit pengajaran daripadanya.
“Tidak kisahlah siapa yang kita jumpa dan siapa yang sentiasa ada dalam hidup kita, kita tidak akan tahu orang itu kawan atau lawan.
“Jadi, apa yang paling penting sebenarnya bukan untuk tahu dia kawan atau lawan. Walaupun kita tahu dia lawan, jangan sambung negativiti itu, teruskan perjalanan.
“Jaga diri, ini tahun 2026. Kita patut buat lebih baik,” tambahnya. -UTUSAN
The post Itulah kehidupan, kita tidak akan tahu siapa ‘rakan’ – Aina Abdul appeared first on Utusan Malaysia.






