Jadikan F1 terbaik di Sepang

22 Sep 2026 • 9:10 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Jadikan F1 terbaik di Sepang
Perlumbaan Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 2-4 Oktober ini. Gambar kecil: Farah Shazwani Ali

 

SELEPAS hampir sedekad hanya mampu melihat Formula 1 (F1) beraksi di negara lain, akhirnya bunyi deruman enjin jentera terpantas dunia akan kembali kedengaran di Sepang.

Bezanya kali ini, ia bukanlah Grand Prix Malaysia kerana perlumbaan yang berlangsung pada 2 hingga 4 Oktober depan sebenarnya ialah Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix in Malaysia.

Nama Bahrain kekal, tetapi perlumbaan berlangsung di bumi Malaysia.

Walaupun ia bukanlah sesuatu yang dirancang sejak awal dan Sepang pula muncul sebagai lokasi pilihan susulan konflik dan ketegangan di Asia Barat, keterujaannya bukan hanya buat rakyat Malaysia tetapi juga peminat F1 seluruh dunia.

F1 kembali ke Sepang buat kali pertama sejak 2017 dan menariknya, peluang ini hadir dengan Bahrain menanggung sepenuhnya yuran hak penganjuran perlumbaan.

Malaysia juga masih perlu berkongsi kos persediaan tempatan dengan Bahrain bagi memastikan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) memenuhi keperluan Formula 1.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menyatakan sekitar RM11 juta hingga RM16 juta diperlukan bagi kerja membaiki dan menyelenggara trek supaya memenuhi piawaian yang diperlukan.

Dalam bahasa mudahnya, Malaysia mendapat peluang membawa masuk semula F1 tanpa perlu menanggung yuran hak penganjuran seperti dalam penganjuran secara biasa.

Malah, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Azhan Shafriman Hanif sebelum ini berkata, sekiranya Malaysia mahu menganjurkan F1 secara sendiri dengan menanggung yuran hak penganjuran dan kos operasi tempatan, jumlah perbelanjaan dijangka tidak kurang daripada RM300 juta setahun.

Namun, berdasarkan data yang dilihatnya mengenai negara-negara tuan rumah, beliau berkata, pulangan berpotensi sekurang-kurangnya tiga kali ganda daripada nilai yang dibelanjakan.

Jadi, inilah bahagian yang paling menarik untuk rakyat Malaysia kerana F1 bukan sekadar 20 pemandu berlumba selama kira-kira dua jam.

Di belakangnya ada hotel, restoran, penerbangan, pengangkutan, pusat beli-belah, pelancongan, peruncitan dan pelbagai aktiviti ekonomi yang boleh menerima tempias daripada kehadiran peminat dari dalam dan luar negara.

Bagi peminat F1 tempatan, berita ini ibarat hadiah yang tidak disangka-sangka. Ramai daripada kita yang membesar dengan nama Michael Schumacher, Fernando Alonso, Lewis Hamilton, Sebastian Vettel dan kemudian Max Verstappen berlumba di Sepang.

Kali ini bakal diwarnai dengan pemandu generasi baharu seperti Alex Albon, Lando Norris, George Russell dan Kimi Antonelli.

Bagi generasi baharu pula, ini peluang merasai sendiri pengalaman yang sebelum ini hanya ditonton melalui skrin.

Bayangkan selepas hampir sembilan tahun, pentas yang sama kembali menerima F1, sudah tentu keterujaannya berbeza.

Lebih menarik, Sepang bukan litar asing kepada Formula 1. Litar sepanjang 5.543 kilometer itu menjadi lokasi perlumbaan sulung F1 di Malaysia pada 1999 dan kekal sebagai antara litar yang mempunyai sejarah penting dalam Formula 1.

Ketua Pegawai Eksekutif Formula 1, Stefano Domenicali sendiri menyifatkan kepulangan ke Sepang sebagai berita hebat buat peminat, selain mengakui litar berkenaan mempunyai tempat istimewa dalam sejarah F1.

Selepas bertahun-tahun Malaysia tidak lagi menganjurkan F1, kita kini diberi peluang melihat semula apa sebenarnya nilai acara sukan bertaraf dunia itu kepada negara.

Jadi, biarlah edisi 2026 ini menjadi yang terbaik. Biar litar penuh, suasana meriah, pengurusan kemas, pelancong berpuas hati dan Malaysia mendapat manfaat sebanyak mungkin.

Dan siapa tahu? Mungkin selepas hampir sedekad menunggu, keajaiban F1 ini tidak berhenti setakat Oktober 2026.

*Farah Shazwani Ali ialah wartawan Sinar Harian

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved